Muhyiddin calon PM terbaik untuk negara, kata Tuan Ibrahim

Timbalan presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pemilihan Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri Muafakat Nasional pada PRU ke-15 kerana beliau dilihat membawa kebaikan kepada negara.

ALOR SETAR: Muhyiddin Yassin dinamakan sebagai calon perdana menteri pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) oleh Muafakat Nasional (MN) kerana beliau dilihat membawa kebaikan kepada negara, kata timbalan presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, MN menyokong Muhyiddin, yang juga presiden PPBM sebagai calon terbaik perdana menteri.

“…kita mendukung bererti kita tak tamak. Bagi kita apa yang menjadi kebaikan kita terima, rakyat memilih dan buat penilaian. Kita lihat itu yang terbaik, bagi rakyat dan negara.

“Jadi ini keputusan dalam Muafakat Nasional kita, ramai calon kita ada. Tetapi apa yang penting ialah Muhyiddin diterima rakyat dan apa beliau buat selama ini sangat baik untuk negara dan kita perlu teruskan kebaikan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat majlis penasihat kerajaan PAS di Seri Mentaloon di sini hari ini.

Tuan Ibrahim mengulas kenyataan presiden Parti Putra Malaysia (Putra) Ibrahim Ali semalam, yang menyifatkan pengumuman MN mengenai pencalonan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri membuktikan semua pemimpin dalam Umno dan PAS tidak layak ditonjolkan untuk jawatan itu.

Khamis lepas, presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan ringkas di Facebook rasminya memaklumkan keputusan parti itu menamakan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri pada PRU15.

Manakala itu, setiausaha bersama MN Annuar Musa mengesahkan MN secara prinsipnya bersetuju untuk terus memberi sokongan kepada Muhyiddin sebagai calon perdana menteri pada PRU15.