Operasi cari 2 mangsa bot karam di Kelantan diperluas lagi

Unit Pasukan Penyelamat di Air, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan dibantu nelayan tempatan melakukan selaman untuk mencari mangsa bot terbalik yang masih hilang di Muara Kuala Kemasin, Bachok, Selasa lalu. (Gambar Bernama)

BACHOK: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) 2 lagi mangsa hilang dalam tragedi bot terbalik dan karam di perairan Bachok yang memasuki hari ke-6 hari ini akan diperluaskan kepada 450 batu nautika persegi dari tempat kejadian.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) Kelantan, Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata dalam operasi SAR semalam, pasukan pencarian masih gagal mendapat petunjuk lokasi Arman Ismail, 43, dan Che Wadi Bakar, 40-an.

“Hari ini, operasi SAR disambung semula 7 pagi tadi melibatkan 81 pegawai dan anggota membabitkan pelbagai agensi dengan menggunakan kaedah pencarian berpandukan sistem SAROPS (sistem pencarian dan penyelamat optimal).

“Arus pencarian operasi ini juga masih dikekalkan, iaitu menghala ke arah Pulau Perhentian dan sektor yang dirasakan logik menggunakan 15 aset daripada semua agensi SAR terbabit.

“Sehingga kini, pasukan pencarian serta nelayan dan pemancing yang turut membantu masih gagal mendapat petunjuk lokasi kedua-dua mangsa,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Setakat ini, dalam tragedi bot terbalik berhampiran perairan Kuala Kemasin Isnin lalu, 6 mangsa yang meninggal dunia ditemui, iaitu Mohd Syahrizan Daud, 40-an, Muhamad Zaki Muhamad Nordin, 19, Wan Aminudin Wan Hussin, 60-an, seorang warga Thailand yang hanya dikenali sebagai Pokta, 50-an, Ahmad Syafiq Che Alim, 30 dan Harun Daud, 57.

Sementara itu, 12 daripada 20 mangsa pula selamat dalam kejadian tersebut, dengan semua mangsa berusia 18 hingga 60 tahun.