Pemandu lori belanja RM10,000 tubuh gelanggang Muay Thai

Rohaizad SM Mat Rejab melatih anak muridnya di pusat latihan yang dibinanya di Kampung Lindungan, Petaling Jaya.

PETALING JAYA: Seorang pemandu lori yang merupakan peminat Muay Thai memulakan harinya dengan membersihkan perkarangan pusat latihan seni mempertahankan diri itu yang ditubuhkan lebih 20 tahun lalu.

Rohaizad SM Mat Rejab, anak jati Kampung Lindungan di sini pernah menjadi anak murid kepada beberapa guru di Malaysia dan Thailand.

Berbekalkan ilmu dipelajarinya, dia mendidik anak muda di kampung halamannya pula.

Walaupun gembira dengan keazaman anak muridnya belajar Muay Thai sehingga berjaya menjuarai pertandingan, dia sering terfikir nasib pusat latihannya yang dinamakan “Harimau Emas”.

Rohaizad SM Mat Rejab.

Dia membuat keputusan menubuhkan sebuah pusat latihan pada 2000 kerana minat mendalam terhadap seni mempertahankan diri itu.

“Dulu, saya lihat di sini kurang sukan seperti ini, gelanggang silat pun tidak ada, itulah saya terfikir bina gelanggang di sini. Saya lihat budak muda ramai, saya fikir hendak tarik mereka dalam sukan ini.”

Namun, proses penubuhan gelanggang “Harimau Emas” bukan mudah kerana Rohaizad terpaksa melakukan pengorbanan.

“Tempat ini dulu ditinggalkan. Selepas tu, lebih kurang RM10,000 saya beli peralatannya. Ketika itu masih tidak bersimen, belum ada bumbung lagi, saya buat kecil-kecilan.”

Kini, ia berbumbung dan menjadi gelanggang profesional yang dilengkapi peralatan sukan seperti “punching bag”, sarung tangan serta pelbagai kelengkapan untuk kegunaan sukan berkenaan.

Pusat latihan “Harimau Emas” yang ditubuhkan lebih 20 tahun lalu.

Rohaizad hanya mengenakan yuran minimum bagi memastikan pusat latihan itu terus beroperasi.

“Bezanya, dalam kampung ini kita buat dekat dewan dan lebih kepada komuniti, kita tidak buat komersial sangat.

“Komersial ini bayar sewa mahal, bawa pelatih dari luar. Kita, apa yang kita tahu, yang kita belajar dulu, kita curahkan kepada murid baru.”

Kebanyakan anak murid Rohaizad ialah golongan remaja, namun ada juga kanak-kanak yang mula belajar Muay Thai dari usia 6 tahun.

Pelatih sedang memanaskan badan.

Rohaizad, 58, berkata ada dalam kalangan anak muridnya dulu kurang berdisiplin, namun kini berubah.

“Memang ada perubahan, kita terapkan disiplin dan nilai saling menghormati, saya tengok ramai sudah berubah dan menghormati orang tua.”

Rohaizad berharap pusat latihan itu akan kekal walaupun dia sudah tiada supaya seni mempertahankan diri itu tidak hilang ditelan zaman.

“Saya akan jaga sampai ada pengganti. Bila pengganti saya meneruskan, mungkin saya berada di belakang tabir.

“Setakat ini, belum ada lagi, yang penting ada orang mahu bertanggungjawab menjaga tempat ini.”