PKR Ampang didakwa terbubar, majoriti pemimpin keluar parti

Naib ketua PKR Ampang, D Nallan mengetuai kumpulan ahli yang keluar parti itu hari ini.

AMPANG: PKR terus menerima tamparan hari ini apabila lebih 250 ahli parti itu di kawasan Parlimen Ampang mengumumkan keluar parti kerana hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan yang diterajui Anwar Ibrahim sebagai presiden.

Antara yang keluar termasuk pemimpin PKR kawasan itu terdiri daripada ahli jawatankuasanya, pemimpin sayap Wanita dan Pemuda, melibatkan 38 cawangan.

“Kami sedar dan yakin keputusan yang dibuat hari ini tepat selepas tidak lagi yakin dengan kepimpinan Anwar sebagai presiden yang secara jelas hanya mementingkan kepentingan peribadi semata-mata serta gagal melaksanakan amanah ahli.

“Seramai 250 orang ahli PKR Ampang terdiri daripada jawatankuasa Ampang termasuk pemimpin pelapis di peringkat sayap Wanita dan Pemuda dari 38 cawangan mengambil keputusan untuk keluar PKR serta merta,” kata naib ketua PKR Ampang, D Nallan pada sidang media hari ini.

Nallan turut mendakwa langkah tersebut turut menyebabkan PKR Ampang terbubar serta-merta setelah 2/3 ahli jawatankuasa yang dipilih keluar parti.

“Dalam perlembagaan (parti) ada fasal yang (menyebut) boleh bubar parti jika 2/3 keluar.

“Kita ada 2/3 ahli jawatankuasa yang dipilih dari sayap Pemuda, Wanita dan bahagian,” katanya.

Beliau berkata, 13 daripada 15 ahli jawatankuasa kawasan itu keluar parti, serta 12 dari sayap Pemuda dan 9 ahli jawatankuasa Wanita.

Kumpulan itu juga kecewa dengan sikap pucuk pimpinan kerana melakukan siri terancang dengan penggantungan ramai ahli PKR yang berjuang sejak 1999.

Kumpulan itu juga memaklumkan, mereka menyokong penuh kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.