Polis tahan 77 individu langgar SOP, termasuk kunjungi kelab malam

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 1,171 rakyat Malaysia pulang ke tanah air melalui KLIA dan KLIA2 semalam dan 7 didapati positif Covid-19.

PETALING JAYA: Pada hari ke 108 perintah kawalan pergerakan (PKP) semalam, polis menahan 77 individu kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan, termasuk kerana mengunjungi kelab malam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 13 individu direman, manakala 64 lagi dikompaun.

“Antara kesalahan ialah ingkar arahan PKPP, termasuk aktiviti sukan sentuh (15), aktiviti pub atau kelab malam (12), dan aktiviti yang melanggar SOP lain (50),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bekalan makanan mencukupi

Dalam perkembangan lain, Ismail turut memaklumkan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat pemantauan harian ke atas 25 jenis bekalan barangan di 725 premis perniagaan, termasuk peruncit dan memaklumkan ia mencukupi.

“Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) juga membuat pemantauan di peringkat pengeluar makanan dan memberi jaminan bekalan barangan keperluan mencukupi.

“Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak bimbang dengan bekalan makanan dan keperluan kerana ia dijamin mencukupi.

“Pegawai penguat kuasa KPDNEHP juga melakukan 1,722 pemeriksaan khas pematuhan SOP PKPP dan mendapati 1,707 premis mematuhi SOP ditetapkan, manakala 11 lagi premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP.

“Manakala itu, 4 premis juga diberi amaran oleh pegawai penguat kuasa kerana tidak patuh SOP,” katanya.

Tujuh individu pulang dari luar negara positif Covid-19

Ismail turut memaklumkan, seramai 1,171 rakyat Malaysia pulang ke tanah air melalui KLIA dan KLIA2 dari Indonesia, Singapura, Qatar, UAE, China, Pakistan, Brunei, Hong Kong, Vietnam, Arab Saudi, Australia & Filipina semalam.

“Daripada jumlah itu, 1,164 individu diperintah menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka, manakala 7 individu dibawa ke hospital (kerana positif Covid-19),” katanya.

Beliau berkata, sejak 10 Jun sehingga semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) membuat saringan ke atas 10,278 individu di pintu masuk KLIA.

“Daripada jumlah ini, 10,231 individu didapati negatif Covid-19 dan sedang menjalankan proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing, sementara 47 individu lagi didapati positif dan dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya.