PRK Chini: Proses pengundian lancar, 59% keluar mengundi setakat 1 tengah hari

PRK Chini menyaksikan pertandingan 3 penjuru antara calon BN Mohd Sharim Md Zain dan 2 calon Bebas iaitu Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli. (Gambar Bernama)

PEKAN: Proses pengundian pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, berjalan lancar tanpa sebarang gangguan, dengan tiada laporan polis diterima sejak pusat pengundian mula dibuka pukul 8 pagi dan sehingga pukul 1 tengah hari, 59% pengundi keluar mengundi.

Ketua Polis Pahang Abd Jalil Hassan berkata, anggota dan pegawai polis yang ditugaskan pada hari ini juga telah dipertingkat kepada lebih 700 petugas, berbanding pada hari penamaan calon 399 petugas.

Berdasarkan pemerhatian di 13 pusat mengundi yang mula dibuka 8 pagi tadi, tiada sebarang bentuk kekacauan yang berlaku.

“Proses pengundian di semua pusat itu berjalan dengan lancar dan tenang, mengikut kebiasaan baharu akibat pandemik Covid-19,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

PRK Chini menyaksikan pertandingan 3 penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain, 41, dan 2 calon Bebas iaitu Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

Proses pengundian dijadualkan tamat pada pukul 5.30 petang ini.