Rakyat digalak ke pawagam sokong industri filem
Menteri komunikasi dan multimedia mengingatkan penonton supaya mematuhi SOP ditetapkan untuk mengekang penularan Covid-19.
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah menggalakkan rakyat mengunjungi pawagam yang mula beroperasi semula sejak Rabu lalu dalam usaha menyokong industri perfileman tempatan dan pemulihan ekonomi negara yang terjejas akibat penularan Covid-19.
“Bantulah pempamer (syarikat pawagam) seperti mana anda membantu peniaga lain. Jika pengunjung tidak ada, ia tidak akan mengubah rantaian industri kreatif kita untuk pulih.
“Ibarat penonton tak datang, pempamer rugi, Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) pening nak bagi geran kepada produksi filem. Anggaplah teman bantu-membantu,” katanya selepas lawatan kerja ke sebuah pawagam dekat sini malam tadi bagi meninjau pematuhan SOP.
Beliau berkata, pandemik itu menjejaskan semua aktiviti ekonomi negara, termasuk industri kreatif dan kerajaan komited membantu meningkatkan peluang pekerjaan tenaga produksi dengan menggalakkan pembikinan filem dan drama
“Menerusi Penjana (Pelan Jana Semula Ekonomi Negara), bagi tempoh Julai hingga Disember ini, kita akan cuba bantu keseluruhan jaringan produksi, lebih-lebih lagi menjamin peluang kerja tenaga produksi.”
Beliau turut mengingatkan penonton supaya mematuhi SOP ditetapkan untuk mengekang penularan virus itu.
Setakat ini, katanya, kementeriannya tidak menerima sebarang maklum balas negatif berhubung perkara itu.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Saya akui ia masih terlalu awal dan saya juga tak sempat nak pusing semua pawagam, tetapi saya terima laporan semua pempamer ikut SOP ditetapkan.”