Silap pilih muka baru untuk PRN, kata bekas ketua DAP Sarawak

Edward Andrew Luwak (kiri) tidak gembira dengan keputusan Ketua DAP Sarawak, Chong Chieng Jen mencalonkan muka baru bagi kerusi Bukit Semuja.

KUCHING: Seorang bekas pemimpin cawangan DAP Sarawak mengkritik ketua parti negeri itu, Chong Chieng Jen atas keputusan yang didakwa dibuatnya dengan memilih muka baru bagi kerusi Bukit Semuja pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Bekas ketua DAP Cawangan Serian, Edward Andrew Luwak berkata, Chong memberitahu beliau tidak akan dicalonkan untuk kerusi itu semula dan muka baru akan diperkenalkan.

Luwak, 67, yang mengumumkan peletakan jawatannya daripada DAP Sabtu lalu, percaya Ketua Pemuda DAP Serian, Brolin Nicholson ialah calon pilihan Chong untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

“Keputusan keluar parti dinyatakan dalam surat yang diberikan kepada parti. Saya tidak perlu menyatakan dengan terperinci, tetapi saya hanya mahu kata saya telah hilang keyakinan terhadap pucuk kepimpinan parti,” kata Luwak kepada FMT.

Katanya, beliau tidak akan berundur daripada arena politik, tetapi belum memutuskan untuk menyertai parti lain.

Chong kemudiannya dilaporkan berkata, Luwak memutuskan keluar parti kerana kepimpinan parti tidak memilihnya sebagai calon bagi kerusi Bukit Semuja.

Katanya, Luwak kelihatan tidak gembira apabila dimaklumkan beliau tidak akan dicalonkan.

“Memang saya tidak gembira. Saya tidak menafikannya, tetapi saya ada alasan yang saya percaya wajar,” kata Luwak.

“Bagi saya, Chong lebih suka seseorang yang boleh dipergunakannya. Beliau mahu melebihi orang lain. Jika Pakatan Harapan membentuk kerajaan dan Nicholson menang, adakah anda fikir Chong akan mencalonkannya untuk pelantikan?

“Beliau tentu akan kata ‘beliau (Nicholson) terlalu baru’ dan orang lain yang akan dapat jawatan itu.

“Nicholson dipilih sendiri oleh Chong. Jawatankuasa Serian dipintas. Saya melatih Nicholson, tetapi namanya belum timbul untuk bertanding dalam pilihan raya.”

Katanya, Nicholson ialah graduan muda yang baru selesai konvokesyennya tahun ini.

Luwak berkata, beliau sedia memberi laluan kepada calon “matang” yang sesuai, “disukai dan dikenali rakyat”.

Katanya, kepimpinan DAP negeri juga gagal menganalisis secara kritikal faktor ia gagal memenangi kerusi Serian dan Bukit Semuja pada 3 pilihan raya lalu.

Luwak mewakili DAP di kerusi Parlimen Serian pada PRU 2013 dan kerusi Bukit Semuja pada PRN 2016, tetapi gagal memenangi 2 kerusi itu.

Beliau bertanding semula di Serian pada PRU 2018, tetapi tewas kepada Richard Riot daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).