Taman tema gesa Putrajaya kecuali cukai hiburan

Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga yakin pengunjung akan kembali dengan pelaksanaan langkah keselamatan yang ketat. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sebuah persatuan taman tema meminta kerajaan mengecualikan kutipan cukai hiburan ketika ia bersedia menerima kehadiran pengunjung selepas sekatan Covid-19 dilonggarkan mulai 1 Julai lalu.

Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga (MAATFA) berkata, ini boleh mengurangkan bayaran kemasukan dan memanfaatkan keluarga besar.

Presidennya, Richard Koh berkata ia juga dapat membantu taman tema memulakan sektor itu dan menyumbang kepada industri pelancongan, yang menjadi penyumbang utama ekonomi selepas penularan Covid-19.

Beliau yang optimis taman tema dan tarikan keluarga dapat pulih dengan cepat berkata: “Kami melihat hotel, pusat beli-belah dan sektor lain dibuka semula sejak beberapa minggu lalu dan permintaan terpendam adalah ketara.

“Kami percaya jumlah pengunjung akan meningkat secara beransur-ansur jika taman tema mematuhi langkah keselamatan secara ketat.

“Kami memberi jaminan kepada orang ramai yang langkah ketat dilaksanakan untuk membendung penularan virus.

“Langkah keselamatan lebih ketat daripada pasar raya atau pusat beli-belah kerana kami mempunyai tenaga kerja untuk melaksanakannya. Mungkin hanya industri penerbangan dan hospital yang mempunyai kawalan lebih ketat berbanding taman tema.”

Wakil Taman Tema Sunway, Eunice Chua sependapat dengan Koh yang taman tema itu hanya akan beroperasi dengan kapasiti 50% untuk mematuhi penjarakan sosial.

Bagaimanapun, Chua berkata, tiada sekatan kemasukan untuk kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

Katanya, penggunaan topeng tidak perlu untuk tarikan air, manakala langkah pencegahan lain sudah dilaksanakan bagi memastikan keselamatan pengunjung.

“Kolam kami berklorin dan kualiti air diperiksa setiap 2 jam menggunakan sistem dos automatik bagi mengekalkan kualiti air kolam.”