Virus polio dikesan dalam sampel air kumbahan di Labuan, kata Noor Hisham

Sabah merekodkan 4 kes polio sejak Disember tahun lalu, iaitu 2 kes di Sandakan dan masing-masing 1 kes di daerah Tuaran dan Kinabatangan. (Gambar AFP)

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, virus polio dikesan dalam sampel air kumbahan yang diambil di Wilayah Persekutuan (WP) Labuan susulan aktiviti pemantauan persekitaran menerusi persampelan yang diperluaskan ke 64 lokasi seluruh Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pengesanan virus terbabit disahkan oleh makmal rujukan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Australia.

Bagaimanapun katanya, tiada kes dikesan dalam kalangan penduduk WP Labuan setakat ini.

“Ini berdasarkan survelan Acute Flaccid Paralysis (AFP) dan saringan 41 orang kanak-kanak sihat berumur bawah 5 tahun yang dijalankan secara rawak di WP Labuan.

“Susulan pengesanan virus polio dalam persekitaran, KKM melalui Jabatan Kesihatan WP Labuan menjalankan kempen imunisasi polio bagi mencegah jangkitan dalam kalangan penduduk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 7 Mei, pemberian vaksin “monovalen oral polio: (mOPV) di Sabah yang sepatutnya dilaksanakan pada April lepas dijadualkan semula awal Jun.

Sabah merekodkan 4 kes polio sejak Disember tahun lalu, iaitu 2 kes di Sandakan dan masing-masing 1 kes di daerah Tuaran dan Kinabatangan.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, kempen itu melibatkan pemberian 2 dos vaksin “bivalent oral polio type 1 dan 3” (bOPV) yang diberikan secara titisan ke dalam mulut dengan mensasarkan semua kanak-kanak berumur bawah 13 tahun di seluruh WP Labuan.

Beliau menggesa semua ibu bapa di Labuan memastikan anak-anak yang berumur bawah 13 tahun menerima vaksin oral polio seperti yang dinyatakan mengikut jadual yang dimaklumkan oleh Jabatan Kesihatan WP Labuan.

“Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut mengenai kempen imunisasi polio di WP Labuan, ibu bapa boleh menghubungi Bilik Gerakan Polio Jabatan Kesihatan WP Labuan di talian 087-596020 atau 087-596160,” katanya.

Noor Hisham berkata, vaksin polio yang diberi secara suntikan dalam bentuk vaksin 5 serangkai (DTaP-IPV/Hib) yang mengandungi komponen antigen difteria, tetanus, pertussis, polio dan haemophilus influenzae type b perlu terus diambil mengikut jadual yang ditetapkan pada umur 2, 3, 5 dan 18 bulan.

Katanya, ini bagi memastikan setiap kanak-kanak dapat dilindungi daripada jangkitan polio secara optimum.

“Vaksin oral polio merupakan pemberian vaksin polio tambahan, bagi memastikan penularan virus polio dapat dihentikan.

“Pada masa yang sama, KKM melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sabah masih meneruskan kempen imunisasi di negeri itu,” katanya.

Sementara itu Noor Hisham berkata, tiada penambahan kes polio di Sabah dengan bilangan kes yang disahkan melalui ujian makmal kekal 4 kes.

Katanya, Survelan Acute Flaccid Paralysis (AFP) dan survelan persekitaran untuk virus polio diteruskan di seluruh negara.

“Bagi kanak-kanak di negeri selain Sabah dan WP Labuan, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka mendapat vaksin polio secara suntikan mengikut jadual yang ditetapkan pada umur 2, 3, 5 dan 18 bulan.

“Sekiranya terdapat kanak-kanak yang tercicir suntikan vaksin polio, ibu bapa dinasihatkan agar pergi ke mana-mana klinik kesihatan bagi penjadualan semula suntikan vaksin mengikut kesesuaian umur kanak-kanak tersebut,” katanya.