82 lagi maut akibat Covid-19 dalam tempoh 24 jam di Indonesia

Kes kematian terbaru Covid-19 di Indonesia melibatkan masing-masing 24 kes di Jawa Timur dan Sulawesi Selatan, 15 di Jawa Tengah dan selebih di wilayah lain di republik itu. (Gambar AP)

JAKARTA: Indonesia merekodkan 82 lagi kematian akibat wabak Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah keseluruhan kematian kini 3,171 orang.

Kes positif virus itu juga meningkat kepada 63,749 kes, iaitu pertambahan 1,607 kes baru dalam tempoh berkenaan.

Dalam sidang media harian menerusi saluran YouTube rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia, jurucakap pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto berkata, bagi tempoh 12 tengah hari semalam hingga 12 tengah hari ini, sebanyak 13,767 pesakit masih dalam pemantauan.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 1,020 kes, diikuti Jakarta (649 kes), Kalimantan Selatan (200), Jawa Tengah (200), Sulawesi Selatan (199) dan selebihnya di wilayah lain di Indonesia.

Kes kematian terbaru melibatkan masing-masing 24 kes di Jawa Timur dan Sulawesi Selatan, 15 di Jawa Tengah dan selebih di wilayah lain di republik itu.