Adun baru Chini ikrar tiada penduduk setempat diabai kerajaan

Mohd Sharim Md Zain (tengah) sedia belajar dan berhasrat menjadikan Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail (kiri) dan Ahli Parlimen Pekan, Najib Razak sebagai mentornya. (Gambar Bernama)

PEKAN: Mohd Sharim Md Zain yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, mahu memastikan tiada masyarakat di kawasan itu tersisih daripada perhatian kerajaan.

Menyifatkan masa untuk bekerja sudah bermula sebaik saja diisytiharkan sebagai pemenang, Sharim, 41, berkata misi utamanya ialah menyelesaikan permasalahan penduduk dan beliau akan menemui semua pemimpin masyarakat setempat.

Mengakui dirinya masih mentah dalam hal politik, Sharim, yang merupakan generasi kedua Felda Chini 3, berkata beliau sedia belajar dan berhasrat menjadikan Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail dan Ahli Parlimen Pekan, Najib Razak sebagai mentor.

“Alhamdulillah, semuanya berakhir dengan baik untuk BN (Barisan Nasional). Sekarang adalah masa untuk belajar dan bekerja. Saya mohon diberikan masa untuk saya menyesuaikan diri memandangkan pemilihan saya (sebagai calon) juga tidak pernah diimpikan.

“Tapi, saya berjanji akan melakukan sehabis baik dan mohon semua yang lain untuk sama-sama mendoakan saya supaya terus istiqamah dalam perjuangan,” katanya semasa ditemui Bernama di pusat penjumlahan undi di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan malam tadi.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi yang memberikan sokongan kepadanya sehingga menang besar dalam PRK itu, iaitu dengan majoriti 12,650 undi yang diakuinya melebihi jangkaan.

Katanya, jumlah itu tidak boleh dicapai jika pengundi luar tidak pulang menunaikan kewajipan mereka, menyebabkan beliau secara peribadi amat terharu dengan sokongan tersebut.

Selain pengundi, beliau turut mengakui terhutang budi dengan jerit perih jentera PRK itu yang bukan hanya melibatkan BN, tetapi juga PAS dalam kerjasama Muafakat Nasional serta Perikatan Nasional.

“Mereka bertungkus-lumus dalam tempoh 2 minggu ini untuk memastikan kemenangan BN. Walaupun hanya dicabar calon bebas, kami sentiasa berpegang kepada pesanan pimpinan atasan parti supaya tidak alpa atau memandang ringan kemampuan mereka.

“Semangat muafakat semua membuahkan hasil apabila BN memperoleh kemenangan dengan majoriti yang sangat besar dan ini membuktikan tiada yang mustahil jika kami semua bekerjasama.”

Sharim mempertahankan kerusi milik BN itu selepas memperoleh 13,872 undi dengan menewaskan Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, yang mendapat 1,222 undi dan Mohd Shukri Mohd Ramli memperoleh 137 undi.

Kedua-dua calon bebas itu hilang wang deposit.

PRK DUN Chini diadakan ekoran kematian penyandangnya, Abu Bakar Harun, 60, pada 7 Mei lalu akibat serangan jantung.