Apa status projek babit kerajaan Sabah sejak ditadbir Warisan, soal Rahman Dahlan

Abdul Rahman berkata, rakyat dan Yayasan Sabah akan rugi jika kerajaan negeri meneruskan projek mega di Lok Kawi dan tanah anak syarikat kerajaan Sabah itu terikat dalam pertikaian undang-undang. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi Umno, Abdul Rahman Dahlan mempersoalkan kerajaan Sabah pimpinan Ketua Menteri, Shafie Apdal mengenai perkembangan terkini pelaburan dan projek terdahulu sejak Warisan mentadbir negeri itu.

Ketua Umno Tuaran itu mahu kerajaan negeri menyelesaikan semua projek terdahulu sebelum meneruskan projek mega bernilai RM7 bilion di Kampung Meruntum, Lok Kawi.

Beliau menyenaraikan beberapa projek terdahulu, termasuk pembinaan pelabuhan air dalam di Kudat, pelaburan RM13 bilion daripada Burel Industries Sdn Bhd untuk membina kilang petrokimia di Kawasan Industri Berkelompok Kelapa Sawit (POIC) Lahad Datu pada Mac 2019, pembinaan kluster pembuatan perabot di POIC Sandakan, projek membina landasan kereta api dari Kota Kinabalu ke Kudat sepanjang 175km yang bernilai RM5.2 bilion pada April 2019.

Projek lain ialah pelaburan China sebanyak RM2 bilion untuk mewujudkan 3,000 peluang pekerjaan pada September 2018, pelaburan RM3 bilion dilakukan Yayasan Sabah dan pelabur China bagi industri pembuatan kaca pada Mei 2019 serta perjanjian RM20 bilion dimeterai Shafie dan Gabenor Jiangxi, Yi Lianhong untuk pelaburan hartanah serta industri berasaskan kaca pada April 2019.

“Apa sudah jadi kepada pengumuman demi pengumuman kerajaan Warisan sejak mereka menjadi kerajaan?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

“Terbaru, pada 3 Julai, apakah pengumuman projek RM7 bilion projek di Meruntum, Lok Kawi dan pelaburan RM350 juta di Oceanus juga akan berdepan nasib sama?”

Beliau merujuk perjanjian kerjasama anak syarikat kerajaan negeri, Yayasan Sabah dengan syarikat swasta, Tegas Bangsa Sdn Bhd yang dimeterai kelmarin untuk membina beberapa bangunan, termasuk hotel, resort dan taman tema di tanah seluas 391 ekar dalam 12 hingga 15 tahun.

Projek mega itu dijangka dimulakan dalam tempoh 6 bulan dan diharap dapat memberi dana kepada yayasan itu untuk meneruskan pelbagai program di bawah kendaliannya.

Hari ini, Rahman ingin tahu status pertikaian undang-undang antara kerajaan negeri dan Pelangi Prestasi Sdn Bhd yang dikaitkan dengan taikun Syed Mokhtar Albukhary berhubung pengambilalihan Sabah Forest Industries Sdn Bhd (SFI).

Kemelut itu bermula dengan transaksi perniagaan biasa apabila Pelangi menandatangani perjanjian untuk membeli 98% saham SFI pada 2018 pada harga kira-kira RM1.2 bilion. Di bawah perjanjian itu, Pelangi akan menguasai SFI, termasuk semua aset, hak milik tanah dan lesen balaknya.

Tetapi, keadaan bertukar selepas pilihan raya umum ke-14 apabila kerajaan negeri pimpinan Warisan enggan mengeluarkan lesen pembalakan baru kepada Pelangi dan menetapkan syarat baru untuk pengeluaran lesen itu.

Menurut laporan, pelabur itu sudah membayar deposit RM120 juta untuk mengambil alih SFI yang berdepan masalah kewangan, tetapi tanpa akses kepada bahan mentah, pelabur akan mengalami kerugian besar.

Rahman turut mempersoalkan pertikaian undang-undang susulan keputusan kerajaan negeri membatalkan penamatan kontrak konsesi air dan perkhidmatan ketua pegawai eksekutif yang mengetuai syarikat berkaitan kerajaan negeri.

“Tiga isu di atas adalah isu undang-undang dan boleh membawa kesan kewangan besar kepada kerajaan negeri, jika kerajaan didapati bersalah.”

Bekas menteri persekutuan itu berkata, kerajaan negeri perlu menyelesaikan projek lama sebelum meneruskan projek mega di Lok Kawi bagi mengelakkan tanah Yayasan Sabah bernilai ratusan juta terbabit dalam pertikaian undang-undang dengan syarikat swasta.

“Yang rugi nanti Yayasan Sabah dan rakyat Sabah.”