Bank Islam sedia bantu pelanggan selepas moratorium tamat

Bank Islam berkata, ia membantu lebih 394,000 pelanggan sepanjang tempoh 6 bulan pelaksanaan moratorium pinjaman bermula April lepas.

KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Bhd menggalakkan para pelanggan yang terjejas akibat Covid-19 supaya menghubunginya bagi mengatur penyelesaian terbaik memandangkan tempoh moratorium selama 6 bulan dijadualkan tamat pada September.

Ketua pegawai eksekutif, Mohd Muazzam Mohamed berkata, pihaknya prihatin terhadap keperluan pelanggan dan secara proaktif menyediakan pelbagai penyelesaian berdaya maju untuk membantu mereka menghadapi keadaan ekonomi tidak menentu akibat pandemik yang memberi kesan kepada perniagaan kecil dan runcit.

“Segmen tersebut juga merupakan kumpulan portfolio pembiayaan terbesar Bank Islam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sepanjang 6 bulan pelaksanaan moratorium, Bank Islam membantu lebih 394,000 pelanggan daripada segenap segmen.

Bank Islam memberi moratorium selama 6 bulan untuk membantu pelanggan yang terjejas dan pelanggan akan membayar jumlah ansuran yang sama selepas tempoh tersebut, katanya.

“Pelan strategik dirangka dan Bank Islam sentiasa bersedia untuk memastikan keperluan kewangan pelanggan diberi keutamaan serta mereka bersedia untuk mencari jalan keluar daripada persekitaran yang mencabar ini.

“Apa yang perlu dilakukan hanyalah datang untuk berbincang dengan kami.” katanya.

Bagi sebarang pertanyaan dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai alternatif penyelesaian bayaran Bank Islam, pelanggan dinasihatkan berkunjung ke cawangan Bank Islam berdekatan atau hubungi Pusat Panggilan Bank Islam di talian 03-2690 0900.