Banyak khasiat petai ramai tidak tahu antaranya wujudkan perasaan gembira

Serat yang tinggi di dalam petai dapat membantu proses penghadaman dan mencegah sembelit.

Sebut sahaja petai pasti semua orang akan tahu mengenai baunya yang kuat.

Ada sesetengah orang memang pantang nampak petai, terus terbuka selera walaupun sekadar cicah dengan budu.

Tapi ada orang yang langsung tak boleh makan petai sebab ianya berbau agak kuat.

Namun, di sebalik bau petai ini, terdapat begitu banyak khasiat petai yang tak patut kita abaikan.

Info ringkas tentang petai

Nama saintifik bagi petai adalah parkia speciosa dan ia turut dikenali dengan nama lain di negara-negara lain seperti sataw (Thailand), peteh/pete (Indonesia), yongchak (India) bitter bean, stink bean, sator bean atau twisted cluster bean.

Petai ialah sejenis ulam yang datang dari pokok petai yang tumbuh di serata Asia Tengara.

Pokok petai boleh mencecah 30m tinggi.

Sayur petai dimakan secara terus, dibuat ulam, dijerukkan atau dibuat lauk makanan harian.

Lauk makanan harian yang paling popular di Malaysia ialah sambal petai yang menjadi buruan peminat lauk makanan tradisional.

Petai yang dulunya hanya dikenali sebagai sayuran hutan yang hanya dinikmati dan dihargai oleh penduduk luar bandar, kini menjadi buruan ramai sebagai makanan ulam yang sangat popular.

Kenapa petai berbau kuat atau busuk?

Menurut info dari laman web kesihatan HelloDoktor, petai boleh menyebabkan bau yang tidak menyenangkan kerana kandungan asid amino yang terkandung dalam biji petai yang mengandungi unsur sulfur.

Kandungan asid amino inilah yang menjadikan biji petai menghasilkan bau yang sangat menyengat dan turut memberi kesan sampingan pada nafas berbau dan air kencing.

Bagaimanapun, bau ini tidak mendatangkan mudarat kepada kesihatan.

5 khasiat petai untuk kesihatan

1. Melancarkan penghadaman

Petai adalah sumber serat yang baik terutamanya jika dimakan sebagai ulam-ulaman.

Serat yang tinggi di dalam petai dapat membantu proses penghadaman dan mencegah sembelit.

2. Membantu diet

Serat juga menambahkan rasa kenyang, mengurangkan kolesterol LDL (buruk), dan memperlahankan pelepasan gula daripada makanan ke dalam darah.

Apa yang lebih penting, serat larut dapat mengurangkan risiko untuk mendapat penyakit jantung, Diabetes Type 2, dan obesiti.

3. Tinggi kalium

Setengah cawan petai sarat dengan 224mg kalium (potassium).

Komponen ini memainkan peranan mengawal keseimbangan air badan untuk dan fungsi jantung.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) potassium amat penting bagi kesihatan jantung.

4. Mencegah kemurungan

Petai mengeluarkan sejenis protein yang diolah oleh tubuh kita menjadi serotonin.

Serotonin inilah yang membuat kita merasa lebih tenang dan mengelakkan perasaan kemurungan.

5. Tinggi kandungan vitamin c

Jangan ingat vitamin C hanya ada dalam buah oren tau.

Tahukah anda, terdapat 20mg vitamin C dalam setengah cawan petai cukup untuk memenuhi kira-kira separuh daripada keperluan vitamin harian kita.

Seperti yang kita sedia maklum, vitamin C ini penting bagi pertumbuhan dan pembaikan tisu di semua bahagian tubuh kita.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]