Bayi 3 bulan antara 4 dikesan dijangkiti polio di Sabah, Labuan

Anak-anak berumur 2, 3, 5 dan 18 bulan mesti diberikan suntikan polio bagi mencegah jangkitan virus tersebut. (Gambar AFP)

KOTA TINGGI: Bayi berusia 3 bulan antara 4 orang dikesan dijangkiti virus polio di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, minggu lepas.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata, 3 lagi yang dikesan itu melibatkan kanak-kanak berusia 3, 8 dan 11 tahun.

Beliau berkata, 3 daripadanya merupakan warga asing dan seorang warga tempatan.

“Kami kesan pada minggu lepas, saya ingin nasihatkan ibu bapa untuk beri vaksinasi polio bagi anak-anak berumur 2, 3, 5 dan 18 bulan supaya program membasmi polio ini berkesan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan pelitup hidung dan mulut serta sabun antiseptik di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Habab di sini, hari ini.

Adham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang membuat tindakan awal bagi mengesan kes polio di seluruh negara.

Beliau dalam masa sama menjelaskan bahawa vaksin bagi mencegah virus polio diberikan percuma oleh kerajaan.

Ketika diminta mengulas mengenai sejauh mana KKM menyediakan khidmat kaunseling sekiranya terdapat individu, terutama pelajar yang mengalami ketakutan psikososial berikutan pandemik Covid-19, Adham berkata 148 kaunselor ditempatkan di klinik kesihatan seluruh negara dan mereka boleh dirujuk bagi tujuan itu.

Menurut beliau, ketakutan psikososial terhadap Covid-19 bukan sahaja berlaku di negara ini, tetapi melibatkan negara lain yang terjejas akibat pandemik itu.

“Kami sentiasa bersiap sedia sekiranya ada kes-kes seperti ini ditemui untuk diatasi dengan cepat. Oleh sebab itu, bagi melicinkan kaedah pembelajaran efektif.

“Kita mahu dalam pemikiran anak-anak di sekolah bahawa mereka perlu yakin kerana mereka adalah antara golongan yang sentiasa dijaga,” katanya.

Beliau berkata, KKM menetapkan prosedur operasi standard (SOP) untuk pelajar dan pihak sekolah patuhi bagi mengekang penularan Covid-19.