Kelantan perlu RM7 bilion atasi masalah air, kumbahan, kata Tuan Ibrahim

Kelantan memerlukan peruntukan bagi menggantikan paip lama berusia lebih 40 tahun dalam usaha mengurangkan kehilangan air tidak terhasil.

KOTA BHARU: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) akan memohon peruntukan RM7 bilion dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) daripada kerajaan persekutuan bagi menyelesaikan masalah air secara holisitik di Kelantan.

Menterinya Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia membabitkan 3 perkara utama iaitu tebatan banjir, termasuk pembinaan empangan baru, penggantian paip lama yang berusia lebih 40 tahun bagi mengurangkan kehilangan air tidak terhasil dan naik taraf loji serta projek pembentungan bersepadu.

“Langkah ini diambil selepas mengambil kira kapasiti penduduk yang banyak dan mampu menyelesaikan masalah bekalan air Kelantan, dalam tempoh 30 hingga 40 tahun ke hadapan.

“Menjelang 2030, kita yakin 95% masalah bekalan air dapat diselesaikan di negeri ini,” katanya selepas menghadiri mesyuarat bersama Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob, di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Hadir sama pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri Azami Mohd Nor dan ketua setiausaha KASA Zaini Ujang.

Tuan Ibrahim berkata, penyelesaian masalah air secara holisitik ini juga melibatkan punca air dengan memberi perhatian kepada sumber air sungai atau air permukaan bagi memberi jalan keluar kepada masalah air di Kelantan.

Dalam pada itu beliau berkata, mesyuarat berkenaan turut membincangkan mengenai cadangan untuk menangani air laut resapan di tapak pelupusan sampah bagi mengelakkan pencemaran kepada sistem air bawah tanah dan sungai dan pengurusan air kumbahan bukan najis.

Beliau turut mengumumkan Kelantan akan menjadi tuan rumah bagi sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HSAN) peringkat kebangsaan yang akan diadakan pada Oktober depan.