Kenapa polis hubungi peserta Parlimen Digital, Ramkarpal soal KPN

Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh berkata, penganjur dan peserta Parlimen Digital tidak seharusnya diintimidasi.

PETALING JAYA: Pemimpin DAP Ramkarpal Singh mahu Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador menjelaskan kenapa peserta Parlimen maya (Parlimen Digital) dihubungi oleh pihak polis baru-baru ini.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu berkata, tidak ada keperluan bagi polis untuk menghubungi peserta dan meminta maklumat peribadi mereka.

Katanya, beliau tidak mendapati inisiatif golongan muda itu melanggar mana-mana undang-undang.

Beliau juga menggesa Hamid supaya memastikan apa-apa siasatan ke atas acara itu dihentikan serta-merta.

Penganjur dan peserta tidak harus diintimidasi berikutan siasatan itu kerana tidak ada undang-undang yang dilanggar, katanya.

“Kewujudan sikap tidak bertolerasi sedemikian pada hari dan zaman ini tidak boleh diterima. Tidak ada kewajaran untuk menakut-nakutkan penganjur dan peserta program itu, terutamanya apabila ia menggalakkan perbincangan yang bernas.

“Melainkan, tujuan penyiasatan polis itu sememangnya untuk menyekat kebebasan bersuara dan kritik sah terhadap kerajaan yang mungkin berlaku susulan perdebatan dalam program tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dilaporkan sebilangan daripada 222 wakil orang muda dihubungi oleh polis sebaik sahaja sesi maya mereka itu tamat semalam.

Parlimen maya merupakan inisiatif Challenger Malaysia, Undi 18, Liga Rakyat Demokratik dan Pertubuhan Beliau Malaysia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk menunjukkan bagaimana badan perundangan boleh bersidang melalui platform atas talian.