Majlis Peguam gesa badan bebas ditubuh siasat kematian dalam tahanan

Seorang lelaki mati di Penjara Sungai Buloh pada Khamis lalu ketika ditahan atas kesalahan berkaitan dadah.

PETALING JAYA: Majlis Peguam menggesa sebuah organisasi luar yang bebas ditubuhkan untuk menyiasat kematian dalam tahanan susulan kes seorang lelaki mati di Penjara Sungai Buloh ketika ditahan atas kesalahan berkaitan dadah.

M Ramachelvam, pengerusi Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) majlis itu, berkata organisasi itu perlu diberikan kuasa khusus untuk menyiasat kematian dalam lokap polis, penjara atau pusat tahanan imigresen.

Semalam, V Mugilarasu, 35, dilaporkan rebah dalam sel penjaranya pada malam Khamis lalu selepas mengadu sakit dada. Keluarganya mendakwa mereka tidak dimaklumkan segera mengenai kematiannya.

Abang Mugilarasu, Karunakaran Pillai, 40, memberitahu New Straits Times, beliau mengesyaki wujud perbuatan khianat kerana terdapat kesan lebam di muka, bengkak di lengan dan kesan darah dalam mulut adiknya.

Beliau turut mendakwa adiknya tidak mengadu sakit kepadanya dalam panggilan telefon beberapa jam sebelum kematiannya.

Ramachelvam meminta polis menyiasat kematian itu berdasarkan dakwaan keluarga lelaki berkenaan.

“Ia juga penting untuk inkues diadakan bagi mencari kebenaran berhubung kematian itu,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, keselamatan dan kesejahteraan tahanan ialah tanggungjawab pihak berkuasa yang menahan, serta semua kematian dalam lokap polis, penjara atau pusat tahanan imigresen perlu disiasat secara menyeluruh.

Ramachelvam berkata, cadangan rang undang-undang penubuhan IPCMC memperuntukkan siasatan kematian dalam tahanan polis oleh suruhanjaya itu.

“Peruntukan sama perlu digubal bagi institusi lain yang mempunyai kuasa dan kemudahan untuk tangkapan dan penahanan.”

Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, RUU IPCMC akan diperhalusi sebelum Kabinet Perikatan Nasional membuat keputusan akhir berhubung penubuhannya.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador bersetuju dengan penubuhan IPCMC selepas mesyuarat dengan pihak berkepentingan, termasuk persatuan polis pada Mei 2019.

Ini menyusul tindakan polis menolak gesaan penubuhan badan pengawasan bebas selama bertahun-tahun.

Pada September 2018, kerajaan Pakatan Harapan bersetuju menubuhkan IPCMC, langkah yang dibantah Ketua Polis Negara ketika itu, Mohamad Fuzi Harun.