Mangsa terakhir tragedi bot karam ditemui berdekatan Pulau Perhentian

Mayat mangsa ke-8 dan terakhir Arman Ismail ditemui kira-kira 3 batu nautika dari rakannya, Che Wadi Bakar, yang ditemui pagi tadi. (Gambar Bernama)

BACHOK: Mangsa ke-8 dan terakhir tragedi bot terbalik pada Isnin lepas ditemui berhampiran Pulau Perhentian petang ini.

Pengarah Agensi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, mayat Arman Ismail, 43, ditemui nelayan terapung-apung di kawasan pulau berkenaan pada pukul 2.20 petang ini.

“Nelayan itu kemudiannya menghubungi bot APMM yang kebetulan berada di kawasan itu dalam usaha mencari mangsa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pusat operasi SAR di Kuala Kemasin di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhd Nur Syam yang juga komander operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu berkata, mayat Arman ditemui kira-kira 3 batu nautika dari rakannya, Che Wadi Bakar, 44, yang ditemui pada pukul 10.30 pagi tadi.

Beliau berkata, identiti mayat disahkan oleh ahli keluarganya selain penemuan dompet yang mempunyai kad pengenalan diri di badan mangsa.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu untuk bedah siasat.

Muhd Nur Syam berkata, dengan penemuan mangsa terakhir itu, operasi SAR akan ditutup secara rasmi selepas ia dimulakan Isnin lepas.

“Pada hari ini seramai 81 anggota yang terdiri polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Persatuan Nelayan Bachok, selain anggota APMM Kelantan menyertai gerakan SAR.

“Kejayaan menemui kesemua mangsa yang hilang dengan kerjasama penuh nelayan tempatan akan dijadikan model kerja menyelamat pada masa hadapan,” katanya.