Menang 6 PRK bukti BN masih relevan, diterima rakyat, kata Zahid

Calon BN, Mohd Sharim Md Zain meraikan kemenangannya pada PRK Chini bersama kepimpinan BN di pusat penjumlahan undi di IKBN Pekan semalam. (Gambar Bernama)

PEKAN: Kemenangan 6 kali dalam pilihan raya kecil (PRK), termasuk yang terbaru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini semalam membuktikan Barisan Nasional (BN) masih relevan dan diterima rakyat.

Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, berkata lambang dacing (BN) tidak lagi diterima rakyat terbukti tidak benar.

“Saya yakin 6 PKR ini (selepas pilihan raya umum ke-14) jelas memberikan suatu bukti BN bukan sahaja masih relevan, tetapi mempunyai masa depan cerah jika parti komponen serta sokongan Muafakat Nasional dapat membawa kejayaan pada PRU ke-15 nanti.

“Apatah lagi sekarang kita menyokong Perikatan Nasional. Kombinasi ini juga menyumbang kejayaan (kemenangan) selain pengundi Chini sendiri mahu kesinambungan perkhidmatan BN,” kata presiden Umno itu selepas pengumuman rasmi keputusan PRK Chini di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan malam tadi.

BN sebelum ini memenangi PRK Parlimen Cameron Highlands, DUN Semenyih, DUN Rantau, Parlimen Tanjung Piai dan Parlimen Kimanis.

PRK DUN Chini menyaksikan calon BN, Mohd Sharim Md Zain, 41, menang dengan majoriti 12,650 selepas memperoleh 13,872 undi.

Pencabarnya, iaitu 2 calon bebas, Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, meraih 1,222 undi dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, hanya mendapat 137 undi, menyebabkan kedua-duanya hilang deposit.

Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan formula calon muda yang diketengahkan membuahkan hasil dengan majoriti besar yang diperoleh BN.

Katanya, selain faktor calon muda, Sharim sudah dikenali segelintir besar penduduk DUN Chini kerana aktif dalam pelbagai persatuan belia, selain kerap membantu Adun sebelum itu, Abu Bakar Harun.

“Tapi sudah pasti kita sendiri mahu mengetengahkan calon muda untuk menjadi pelapis kepada perjuangan parti. Selain itu, faktor pengundi muda yang berusia antara 21 hingga 39 tahun lebih 55% di DUN Chini menjadikan beliau calon yang tepat.”

Selain itu, Wan Rosdy juga menyifatkan kerjasama jentera BN yang turut disokong PAS berdasarkan semangat Muafakat Nasional dan juga PPBM atas kerjasama PN sebagai faktor utama kemenangan Sharim.

PRK DUN Chini diadakan ekoran kematian Abu Bakar, 60, pada 7 Mei lalu akibat serangan jantung. Abu Bakar menjadi wakil rakyat kawasan itu sejak PRU11 pada 2004.

Sokongan PAS itu boleh dilihat apabila Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Pekan, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim, yang tewas kepada Abu Bakar pada PRU14, menjadi penyokong kepada Sharim pada hari penamaan calon 20 Jun lepas.

Fadhil berkata, sokongan PAS adalah keputusan pimpinan parti itu supaya akar umbi menyokong calon BN menerusi kerjasama dalam Muafakat Nasional.

“Kita bagi sokongan padu dan bersatu untuk beri komitmen terhadap calon BN dan inilah hasilnya,” katanya.