Netizen puas hati keprihatinan kerajaan beri diskaun bil elektrik sehingga Disember

7.66 juta pengguna domestik di semenanjung akan terus nikmati diskaun bil elektrik sehingga Disember 2020.

Sebelum ini diumumkan, pemberian diskaun elektrik akan diberikan bermula dari April sehingga September bagi semua pengguna domestik di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Tetapi kini, ia bakal dilanjutkan lebih lama lagi kepada Disember ini.

Sudah tentu berita ini menggembirakan 7.66 juta pengguna domestik di semenanjung yang akan terus menikmati diskaun bil elektrik di antara 2% hingga 50%.

Rata-rata netizen gembira dengan berita ini yang ternyata dapat memberi manfaat untuk satu tempoh yang panjang.

Diskaun ini akan terus dinikmati bermula dari 1 Oktober 2020 sehingga 31 Disember 2020 sebagai lanjutan kepada diskaun elektrik yang diumumkan 27 Mac lalu di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).

Lanjutan ini turut terpakai bagi pengguna elektrik dengan penggunaan di antara 601 hingga 900kWj yang mula mendapat diskaun 10% di bawah Bantuan Prihatin Elektrik (BPE) yang diumumkan kerajaan pada 20 Jun.

Manakala, seramai 520,000 orang di Sabah dan 580,000 orang di Sarawak turut akan menerima diskaun bil elektrik ini sehingga penghujung Disember ini.

Untuk makluman, kerajaan sebelum ini mengumumkan diskaun bil elektrik ini sebagai usaha meringankan beban rakyat menghadapi pandemik ini.

Suruhanjaya Tenaga juga sebelum ini memaklumkan bahawa pengguna bukan domestik akan menikmati penurunan surcaj sebanyak 2 sen/kWj bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2020.

Manakala pengguna elektrik domestik kekal membayar kadar tarif sedia ada.

Kos keseluruhan pemberian diskaun bil elektrik dari April hingga Disember 2020 adalah berjumlah RM2.62 bilion.

Pelanjutan diskaun selama 3 bulan bagi pengguna di Semenanjung akan dibiayai menggunakan dana Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) dengan anggaran sebanyak RM392 juta.

Sementara diskaun bagi Sabah dan Sarawak pula akan dibiayai oleh Kementerian Kewangan dengan anggaran peruntukan sebanyak RM6 juta.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]