Selepas atasi pertikaian di Bagahak, penduduk mahu Shafie selesai masalah tanah di Pitas

Kayu akasia dibawa dengan tongkang ke kilang kertas di Pitas, Sabah.

KOTA KINABALU: Hampir 10,000 penduduk di Pitas mengharapkan bantuan Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal bagi menyelesaikan pertikaian tuntutan tanah nenek moyang mereka terhadap Lembaga Kemajuan Perhutanan Sabah (Safoda).

Jurucakap penduduk dari 54 kampung di daerah itu Maklin Masiau berkata, Safoda merupakan sebuah badan berkanun di bawah Jabatan Ketua Menteri.

Beliau berkata, penduduk gembira bahawa Shafie membantu 1,680 penduduk di Ladang Bagahak mendapatkan semula 6,800 hektar tanah yang mereka usahakan dengan tanaman kelapa sawit sejak 1970-an.

Shafie mengumumkan bahawa Sawit Kinabalu, iaitu syarikat yang mengendalikan ladang kelapa sawit di sini akan diberikan pampasan 18,000 hektar tanah di tempat lain.

Maklin berkata, penduduk Pitas berharap Shafie akan memberi perhatian sewajarnya kepada pertikaian mereka yang berlanjutan sejak sekian lama.

Katanya, ada ketikanya pertikaian itu mencetuskan pergaduhan melibatkan penduduk kampung.

Maklin Masiau.

“Sebahagian besar tanah itu masih dipertikaikan di mahkamah. Penduduk telah membelanjakan rubuan ringgit wang bagi menyelesaikan masalah itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tanah terbabit diwartakan untuk penanaman pokok akasia untuk balak oleh kerajaan Sabah pada 1980-an.

Maklin berkata, bilangan penduduk kampong semakin bertambah dan tanah terbabit sepatutnya diberikan kepada mereka untuk dibangunkan mengikut kehendak sendiri.

Beliau yang juga merupakan calon Warisan di Pitas semasa pilihan raya umum ke-14 lepas berharap kerajaan negeri akan menyemak semula enakmen Safoda bagi membolehkannya terlibat dalam bidang baru.

Beliau berkata, langkah itu sekurang-kurangnya akan membolehkan penduduk membuat perjanjian usahasama dengan syarikat Linaco Manufacturing yang kini terlibat dalam penanaman kelapa.