Susah dahulu, senang kemudian, kata penganalisis berkait moratorium lebih panjang

Moratorium lebih panjang ke atas pembayaran balik pinjaman akan membuahkan hasil kepada bank dalam jangka panjang, kata pakar ekonomi. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang pakar ekonomi menyuarakan sokongan terhadap lanjutan tempoh moratorium 6 bulan ke atas pinjaman bank dengan menggesa institusi perbankan melihat “gambar besar” walaupun mereka akan menghadapi kesukaran sementara waktu.

Felo kanan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi, Carmelo Ferlito berkata, membantu perniagaan dan isi rumah yang menghadapi tekanan kewangan untuk berdiri semula akan membawa keuntungan dalam jangka panjang.

“Lanjutan moratorium mungkin merupakan jalan terbaik bagi bank menjamin aliran tunai masa depan. Penangguhan adalah lebih baik daripada pelupusan.

“Benar, dalam jangka pendek, lanjutan itu mungkin menimbulkan masalah kepada bank. Akan tetapi ia mungkin langkah yang perlu diambil bagi memastikan keuntungan dinikmati semula dalam tempoh terdekat,” katanya kepada FMT.

Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini mengisyaratkan bahawa ia tidak bercadang untuk melanjutkan tempoh moratorium dengan merujuk kepada kos yang ditanggung oleh institusi kewangan sejak ia dilaksanakan pada 1 April yang berjumlah sekitar RM47.5 bilion.

Daripada jumlah itu, RM16.6 bilion memberi manfaat kepada sektor perniagaan, sementara baki RM30.9 bilion dinikmati orang ramai.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata, Putrajaya kini berunding dengan pihak bank bagi melanjutkan tempoh moratorium ke atas pinjaman.

Carmelo Ferlito

Ferlito berkata, lanjutan hendaklah dibincangkan dengan BNM supaya bank memperoleh sokongan daripada bank pusat itu sewaktu pelanggan dibantu oleh institusi terbabit.

Beliau berkata, penyelesaian bukan lazim adalah diperlukan berpandukan hal keadaan luar biasa yang tercetus akibat wabak Covid-19.

Lanjutan tempoh moratorium pinjaman akan mengurangkan gangguan terhadap struktur ekonomi Malaysia, katanya.

Bank harus mempunyai kuasa budi bicara ke atas lanjutan tempoh bersasaran kerana dasar berpusat mungkin sukar dilaksanakan dan gagal menyasarkan kumpulan yang tepat.

“Bank lebih mengenali pelanggan mereka. Dalam memilih pihak yang wajar diberikan lanjutan, saya menyokong pelanggan yang lemah dari segi kewangan pada masa ini, tetapi didukung oleh asas yang kuat sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan,” katanya.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) juga menyokong gesaan banyak pihak supaya tempoh moratorium dilanjutkan sekurang-kurangnya 6 bulan lagi.

Setiausaha agungnya J Solomon berkata, banyak pihak yang tidak berkemampuan membayar balik pinjaman mereka, termasuk 800,000 pekerja yang hilang pekerjaan sejak April lepas dan puluhan ribu lagi yang terpaksa menerima potongan gaji atau mengambil cuti tanpa gaji.

Solomon menggesa pihak berkuasa tidak memberi alasan bagi pihak bank yang memperoleh keuntungan tinggi sebelum ini, sebaliknya berpihak kepada pekerja.