Tiada peguam hadir semasa polis panggil peserta Parlimen maya, kata penganjur
Acara yang dinamakan Parlimen Digital itu dianjurkan oleh 4 persatuan belia melalui telesidang pada hujung minggu ini.
PETALING JAYA: Sekumpulan anak muda pada persidangan Parlimen olok-olok secara maya menyuarakan kebimbangan apabila sebilangan mereka dipanggil ke balai polis untuk disoal siasat, sementara yang lain dihubungi individu yang mendakwa anggota polis.
Sebilangan peserta diminta hadir ke balai polis untuk disoal siasat tanpa kehadiran peguam, sementara yang lain diminta datang untuk “perbincangan santai” dengan individu yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis, kata pengajur acara itu hari ini.
“Bagi mendapatkan penjelasan dan maklumat, kami menggesa pihak polis menghubungi kami sebagai penganjur. Pada masa akan datang, kami akan berhubung dengan polis lebih awal bagi mengurangkan kebimbangan mereka dan kami juga akan menjemput orang muda dari akademi polis,” kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.
Acara itu yang dinamakan Parlimen Digital dianjurkan oleh 4 persatuan belia melalui telesidang pada hujung minggu ini.
Penganjur berkata, acara itu merupakan “ruang selamat bagi golongan muda membahaskan isu penting berkaitan belia, selain menyuarakan idea mereka untuk negara yang lebih baik”.
Peserta acara berkenaan sebelum itu menemui pemimpin politik, anggota Kabinet, ahli Parlimen dan Adun.
Sebilangan daripada 222 wakil belia terbabit dilaporkan dihubungi oleh polis sebaik acara maya itu tamat semalam.
Perkembangan itu dibantah, antara lain oleh presiden PKR Anwar, ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh dan Adun Sei Delima Syerleena Abdul Rashid yang mempersoalkan penglibatan polis.
Anwar berkata, Kementerian Dalam Negeri dan polis harus menjelaskan kenapa sebilangan peserta disoal siasat, sementara Ramkarpal berkata, siasatan itu harus dihentikan serta-merta.
Acara Parlimen maya itu dianjurkan oleh Challenger Malaysia, Undi 18, Liga Rakyat Demokratik dan Persatuan Belia Malaysia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Perbahasan pada hari Sabtu melibatkan langkah untuk merangsang ekonomi, yang mengetengahkan usul seperti pendapatan asas bersasaran, peningkatan gaji minimum, menangani isu ketaksamaan gender di tempat kerja dan pembangunan ekonomi digital.
Kira-kira 82.7% menyokong usul tersebut, sementara 10% menentang dan 7.3% berkecuali.
Usul hari ini tertumpu kepada isu jurang dalam sektor pendidikan bagi kumpulan B40, orang kelainan upaya, komuniti tanpa kerakyatan dan anggota masyarakat yang berisiko.
Masalah sambungan internet tidak stabil dan kemudahan kelas atas talian turut dibangkitkan.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
88.3% menyokong usul berkenaan, 8.5% menentang dan 3.2% berkecuali.