10 kubur digali semula selepas ujian swab Covid-19 negatif

Selepas dapati ahli keluarga negatif ujian Covid-19 menyebabkan ahli keluarga tuntut semula mayat untuk ditanam di kawasan mereka. (Gambar AP)

10 jenazah yang dikebumikan mengikut prosedur seperti mana-mana pesakit yang dijangkiti Covid-19 digali semula selepas keputusan ujian saringan mendapati mereka negatif daripada jangkitan itu.

Menurut laporan Detik News, mereka adalah antara 70 jenazah yang dipercayai positif Covid-19 dan dikebumikan di Bandung.

Mengikut SOP untuk Covid-19, mayat dan keranda akan dibalut menggunakan plastik, manakala pekerja pengebumian perlu memakai pakaian perlindungan diri (PPE) termasuk sarung tangan, topeng dan baju khas.

Sekretari Dinas Tata Ruang (Distaru) Bandung, Agus Hidayat berkata, kerajaan bersetuju untuk memindahkan kubur-kubur berkenaan ke Subang dan Sumedan, Indonesia atas permintaan ahli keluarga mereka selepas ujian swab mendapati mereka negatif Covid-19.

Beliau juga mendedahkan ada di antara kubur yang digali semula oleh ahli keluarga selepas keputusan ujian keluar.

“Selagi ujian mengesahkan mereka negatif (Covid-19), kita benarkan,” katanya.

Jelas Agus, ketika jenazah itu dikebumikan keputusan ujian swab belum keluar dan kerajaan terpaksa mengebumikan jenazah itu seperti pesakit Covid-19 sebagai langkah berjaga-jaga.

Katanya kesemua pesakit Covid-19 yang meninggal dunia di Bandung dikebumikan di tanah perkuburan Cikadut di Bandung.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]