11 warga asing antara 21 ditahan sertai parti liar di KL

Polis menyerbu parti liar di sebuah unit kondominium di Jalan Klang Lama pada 1.30 pagi Sabtu lalu dan menahan 21 individu berumur 20 hingga 39 tahun. (Gambar PDRM)

KUALA LUMPUR: Sebelas warga asing antara 21 individu yang ditahan dalam serbuan polis ke atas parti liar di sebuah unit kondominium di Jalan Klang Lama, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Zairulnizam Mohd Zainuddin @ Hilmi berkata mereka yang ditahan dalam serbuan kira-kira 1.30 pagi itu berumur dalam lingkungan 20 hingga 39 tahun.

“Kami berjaya menahan 11 lelaki dan 10 wanita dalam serbuan itu. Turut ditahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai menjadi penganjur parti liar itu.

“Warga asing yang ditahan itu terdiri daripada 3 lelaki dan seorang wanita Bangladesh, masing-masing seorang lelaki dan wanita Brazil, masing-masing seorang lelaki Syria dan Libya serta seorang wanita Filipina, Mesir dan Zimbabwe,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, polis turut merampas dadah jenis methamphetamine dianggarkan seberat 0.5g yang dipercayai dibekalkan seorang lelaki tempatan dikenali sebagai Gordon.

“Peserta parti liar ini dijemput melalui aplikasi WhatsApp dan tiada sebarang bayaran dikenakan.

“Saringan air kencing mendapati 9 daripada yang ditahan itu positif dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 12(2), Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.”

Katanya, mereka yang positif dadah direman 3 hari bermula kelmarin di Lokap Berpusat Jinjang, di sini.

Semua warga tempatan yang ditahan dikompaun RM1,000 mengikut Peraturan 11, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (2) 2020 kerana ingkar perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).