33 NGO gesa Putrajaya henti sikap negatif rakyat terhadap pelarian

Presiden Mapim Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Putrajaya harus menangani isu pelarian dan pencari suaka di Malaysia, mengikut pendekatan dan syariat Islam.

PUTRAJAYA: 33 buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa Putrajaya supaya mengambil tindakan terhadap orang ramai yang menunjukkan sikap negatif terhadap pelarian yang masuk ke dalam negara.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, sikap masyarakat pada masa ini harus dikawal, khususnya luahan yang dizahirkan menerusi media sosial.

“Kita beritahu kerajaan bahawa sikap orang ramai harus dikawal supaya tidak menimbulkan kemarahan dan ketegangan dalam masyarakat. Melalui media sosial nampaknya sangat tidak sihat. Kita minta kerajaan hentikan dan pulihan keadaan.

“Ia supaya kita dapat laksanakan tanggungjawab kemanusiaan, daripada kita terus gesa mereka dihalau, jangan diberikan tempat tinggal, itu adalah amat tidak elok sekali. Pelarian sudah masuk ke dalam negara sejak 1970-an lagi.

“Kalau sekarang tindakan drastik diambil, ia amat tidak sesuai dengan Islam, antarabangsa dan hak asasi manusia,” katanya sewaktu ditemui pemberita di pekarangan pejabat perdana menteri di sini, hari ini.

Pada Jun lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, Putrajaya akan bertindak tegas dalam isu melibatkan pelarian Rohingya yang menceroboh masuk ke negara ini.

Ismail berkata, antara tindakan yang akan diambil adalah menghantar pelarian terbabit ke petempatan yang disediakan oleh kerajaan Bangladesh.

Katanya, Kementerian Luar juga diminta berbincang dengan Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk menempatkan mereka di negara ketiga lain.

Terdahulu, Azmi bersama-sama pengerusi Masjid Sedunia Mempertahankan Al-Aqsa (Manar) Ahmad Awang dan ketua pegawai eksekutif Global Peace Malaysia Ahmad Fahmi Mohd Samsudin menyerahkan memorandum kepada pegawai tugas-tugas khas perdana menteri Mohd Azril Mohd Amin.

Memorandum tersebut antara lain menggesa Putrajaya menangani isu pelarian dan pencari suaka di Malaysia, mengikut pendekatan dan syariat Islam.

“Kami menggesa kerajaan supaya berdialog dengan golongan agama untuk mencari pendekatan terbaik mengatasi isu ini dari perspektif Islam. Kerangka dasar, formula strategik dan kerjasama antarabangsa perlu digerakkan mengenai isu pelarian.

“Walaupun Malaysia tidak menangani Konvensyen Mengenai Pelarian 1951, namun sebagai negara Islam, obligasi berkaitan dengan persaudaraan Islam tetap mengikat kebertanggungjawaban negara untuk membantu mereka yang tertindas,” katanya.

Azmi berkata, usahanya ini tidak akan terhenti di sini sahaja, sebaliknya akan turut menyerahkan memorandum kepada 3 menteri berkaitan, iaitu Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob; Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.