10,484 rakyat Malaysia terkandas di luar negara, kata menteri

Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Luar masih memperincikan rancangan dan kos membawa pulang rakyat Malaysia terkandas di luar negara.

PUTRAJAYA: Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan mengenal pasti 10,484 daripada kira-kira 457,000 rakyat Malaysia yang masih berada di luar negara mungkin terkandas akibat sekatan perjalanan antarabangsa.

Beliau berkata, jumlah rakyat Malaysia mungkin terkandas itu termasuk mereka yang kehilangan kerja di luar negara dan pelajar tahun akhir.

“Pelajar di Mesir dan Jordan akan tamatkan pengajian dan mereka perlu pulang.

“Sebahagian rakyat kita di Oman sudah dibuang kerja. Ada juruterbang, kru pesawat dibuang kerja,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, seramai 387,702 daripada jumlah itu sudah berdaftar dengan kedutaan Malaysia dan mereka yang belum berdaftar digesa berbuat demikian secepat mungkin.

“Ada beberapa isu, contohnya peraturan di negara berkenaan yang tidak membenarkan atau melarang pesawat asing mendarat di sana. Kalau kita mahu hantar pesawat, ada negara tidak benarkan sebab mereka tutup pintu (sempadan).

“Sesetengah negara juga negara berisiko tinggi. Ada negara yang diumum Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai berisiko. Ini pun menyukarkan kita.”

Ismail berkata, Kementerian Luar masih memperincikan rancangan dan kos membawa pulang rakyat Malaysia terkandas di luar negara.

Katanya, mesyuarat menteri khas hari ini juga bersetuju Tabung Covid-19 digunakan untuk membiayai operasi membawa pulang rakyat di luar negara.

“Kalau dulu dana tersebut kita guna untuk dalam negara, memberi bakul makanan dan sebagainya. Kali ini kita perluas ke luar negara untuk bantu rakyat kita.”

Beliau berkata 1,197 rakyat Malaysia pulang dari Australia, Singapura, New Zealand, Indonesia, Vietnam, Qatar, Taiwan, Hong Kong, India, China, Turki dan Filipina semalam.

Daripada jumlah itu, hanya seorang yang dimasukkan ke hospital, manakala baki 1,196 orang dibenarkan menjalani kuarantin di rumah.

Ismail berkata, Putrajaya dan Singapura masih berbincang mengenai kelonggaran bagi rakyat Malaysia memasuki negara itu untuk kembali bekerja di sana.

Katanya, kedua-dua negara perlu merangka SOP sebelum memberi kelonggaran itu.

Beliau menggesa 414 orang dikuarantin di rumah dan belum menjalani ujian saringan Covid-19 kedua supaya berbuat demikian secepat mungkin.

Katanya, polis menahan 251 orang semalam kerana mengingkari perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), dengan 111 daripadanya direman dan 140 dikompaun.

Beliau berkata, 126 daripadanya ditahan di pub dan kelab malam, 123 orang terbabit aktiviti yang menyukarkan penjarakan sosial serta 2 lagi melanggar SOP.