APMM terima 2 kapal peronda baru RM400 juta

KM Kota Kinabalu (kanan) akan ditempatkan di Kuching, Sarawak, sementara KM Tok Bali akan berpangkalan di Tok Bali, Kelantan.

KLANG: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) hari ini menerima 2 kapal peronda baru untuk membantu mencegah pencerobohan bot nelayan asing di perairan negara.

KM Kota Kinabalu dan KM Tok Bali, sebahagian daripada pesanan 6 Kraf Peronda Generasi Baru yang diperbuat dengan kos hampir RM400 juta dari Destination Marine Services Sdn Bhd.

Lima daripada kapal itu sudah diterima setakat ini dan sebuah lagi masih dalam pembinaan.

KM Kota Kinabalu akan ditempatkan di Kuching, Sarawak, sementara KM Tok Bali akan berpangkalan di Tok Bali, Kelantan.

Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin berkata, kerajaan komited mempertahankan sempadan maritimnya.

“Sebagai agensi utama yang melindungi perairan negara, kemampuan APMM akan diperkuatkan dari semasa ke semasa dengan pemerolehan aset baru dilengkapi teknologi terkini,” katanya dalam majlis penyerahan di limbungan Destination Marine Services di Pelabuhan Klang hari ini.

Ketua Pengarah APMM, Mohd Zubil Mat Som (2 dari kiri) dan Pengarah Urusan Destination Marine Services Sdn Bhd, Rosli Rashid (2 dari kanan) bertukar dokumen dalam majlis penyerahan 2 kapal peronda kepada APMM sambil disaksikan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin (tengah).

Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri sedang mempercepatkan permohonan untuk mendapatkan kapal pelbagai guna yang dilengkapi teknologi terkini.

“Saya yakin dengan aset seperti ini, APMM akan setanding agensi pengawal perairan antarabangsa.”

Jumaat lalu, APMM menahan 4 bot nelayan Vietnam yang menyamar sebagai bot nelayan tempatan di perairan Terengganu.

Hasil siasatan mendapati semua bot itu menggunakan nombor pendaftaran tempatan bagi tujuan mengelirukan pihak berkuasa dan APMM percaya wujud sindiket memajak nombor pendaftaran bot kepada nelayan Vietnam oleh nelayan tempatan.

“Hasil risikan kita mendapati lesen yang dipajak kepada nelayan Vietnam itu bernilai kira-kira RM200,000 bagi tempoh setahun. Ini adalah cara mudah untuk nelayan tempatan mengaut keuntungan tanpa melakukan aktiviti menangkap ikan,” kata Pengarah Maritim Terengganu, Muhammad Suffi Mohd Ramli semalam.

Ketua Pengarah APMM, Mohd Zubil Mat Som berkata, 88 kes pencerobohan perairan negara melibatkan bot Vietnam direkodkan sejak 19 Mac lalu.