Gagal lawan Covid-19, pelakon Broadway Nick Cordero meninggal dunia
Sebelum ini doktor gagal mengesan virus Covid-19 terhadap Nick namun selepas kesihatannya merosot dia disahkan dijangkiti virus itu.
Selepas 3 bulan bertarung nyawa melawan Covid-19, pelakon Broadway, Nick Cordero dilaporkan meninggal dunia pada usia 41 tahun.
Nick menghembuskan nafas terakhir di Hospital Cedars-Sinai, Los Angeles, Amerika Syarikat pada Ahad.
Berita sedih itu dikongsi oleh isterinya Amanda Kloots menerusi laman Instagram.
“Suami saya meninggal dunia pagi tadi, Ahad. Kami sekeluarga bersamanya sempat berdoa sebelum dia pergi.
“Saya masih tidak percaya dan merasa kesakitan yang teramat. Hati saya hancur dan tidak dapat bayangkan hidup tanpa dia kerana dia penyinar kami.
“Dia adalah sahabat semua orang, suka mendengar dan berkata-kata. Dia adalah aktor dan pemuzik yang sangat hebat. Dia kesayangan keluarga dan disayangi sebagai bapa dan suami,” katanya.
Nick dimasukkan ke hospital sekitar Mac lalu.
Pada awalnya, doktor tidak dapat mengesahkan penyakit dialaminya kerana ujian pertama Covid-19 negatif, namun keadaan kesihatannya semakin merosot dan disahkan dijangkiti virus itu.
Dalam pada itu, Amanda turut berterima kasih kepada pakar perubatan di hospital berkenaan yang membantu merawat suaminya sepanjang berada di wad.
“Kepada doktor luar biasa, Dr David Ng, kamu doktor yang positif… tidak ramai doktor seperti kamu.
“Kamu sangat baik hati, bijak, penyayang, dan sentiasa setia mendengar luahan serta panggilan saya. Terima kasih,” katanya.
Nick meninggalkan isteri Amanda dan seorang anak lelaki iaitu Elvis.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]