Kenapa mulakan projek 3 pulau semasa kemelesetan ekonomi, soal CAP

Kerajaan Pulau Pinang bercadang menerbitkan bon bagi membiayai projek Tebus Guna Selatan Pulau Pinang.

GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) hari ini membidas kerajaan negeri kerana menandatangani perjanjian berhubung projek tebus guna 3 pula dengan berkata, ia adalah langkah yang “sangat tidak bertanggungjawab” di tengah-tengah krisis ekonomi akibat wabak Covid-19.

Ia berkata, projek mega itu akan membebankan kerajaan negeri dengan lebih banyak komitmen seperti penerbitan bon bagi membiayai sebahagian daripada pelancaran projek.

Presiden CAP Mohideen Kader juga berkata, cabaran terhadap laporan taksiran kesan alam sekitar projek itu juga belum didengar oleh Lembaga Rayuan.

Dengan memetik ramalan pakar ekonomi mengenai kemungkinan berlakunya kemelesetan ekonomi, Mohideen bertanya kenapakah kerajaan negeri terburu-buru menandatangani perjanjian itu.

Rabu lepas, kerajaan Pulau Pinang menandatangani perjanjian induk dengan rakan kongsi penyampai projek SRS Consortium untuk secara rasmi meneruskan projek yang kenali sebagai Tebus Guna Selatan Pulau Pinang (PSR) berserta 2 lebuh raya dan sebuah projek kereta api aliran ringan di pulau itu.

Sejumlah 1,821 hektar akan ditebus guna di pantai selatan pulau tersebut dan dijual kepada pembida tertinggi bagi membiayai projek infrastruktur berkenaan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, kerajaan akan menunggu rancangan konsortium terbabit untuk membiayai projek berkenaan.

Katanya, beliau dinasihati oleh pembiaya bahawa kerajaan Pulau Pinang tidak perlu mendapatkan kebenaran kerajaan persekutuan untuk menerbitkan bon berkenaan.

Mohideen berkata, penerbitan bon tanpa kebenaran kerajaan pusat adalah bercanggah dengan perlembagaan.

“Pelik sekali apabila kerajaan negeri mendapatkan nasihat daripada pembiaya bukannya peguam negara atau penasihat undang-undang negeri sama ada kelulusan persekutuan diperlukan untuk menerbitkan bon,” katanya dalam satu kenyataan.

“Ini menimbulkan persoalan serius sama ada perjalanan kerajaan negeri ditentukan oleh ahli perniagaan atau oleh wakil rakyat yang dipilih dan dinasihati oleh pegawai yang dilantik mengikut perlembagaan?”

“Kerajaan pusat tidak harus meluluskan penerbitan apa-apa bon oleh kerajaan negeri atau menjamin pinjaman untuk membiayai projek mega itu,” katanya.

Mohideen berkata, isunya ialah bagaimana kerajaan negeri akan membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion, yang merangkumi 3 pulau tersebut.

Beliau berkata, jelas bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai idea tentang bagaimana ia akan mendapatkan wang itu

“PTMP dirancang oleh sebuah konsortium pemaju dan kontraktor, bukannya oleh perunding pengangkutan bebas.

“Fokus cadangan konsortium itu nampaknya ialah untuk menambah pegangan tanah, bukannya menyurai kesesakan lalu lintas,” katanya.

Mohideen berkata, kerajaan juga harus mendedahkan sekiranya terdapat fasal pengenepian dalam perjanjian yang ditandatangani pada 1 Julai itu.