Kumpulan hak asasi persoal siasatan terhadap peserta parlimen maya

PETALING JAYA: Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) hari ini mempersoalkan siasatan polis terhadap peserta sesi parlimen maya, mengatakan tidak ada undang-undang yang dilanggar inisiatif itu.

Penyelaras Zaid Malek berkata LFL bimbang terbaca laporan mengenai polis menyoal sekumpulan anak muda terbabit, mengatakan tiada asas untuk menjalankan siasatan.

“Oleh kerana pihak berkuasa tidak menyatakan mengapa mereka menyoal peserta terbabit, kami berpendapat ini tindakan intimidasi yang bertujuan untuk tidak mengalakkan anak muda bersuara dan terbabit dalam wacana politik,” katanya dalam kenyataan.

Sesi parlimen maya, dikenali sebagai Parlimen Digital, adalah inisiatif Challenger Malaysia, Undi 18, Liga Rakyat Demokratik, dan Persatuan Belia Malaysia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk menunjukkan bagaimana badan perundangan bersidang melalui platform dalam talian.

Dilaporkan sebilangan daripada 222 wakil orang muda dihubungi polis selepas sesi maya itu tamat.

LFL ambil maklum sebilangan peserta dipanggil untuk soal siasat tanpa kehadiran peguam, mengatakan tujuan inisiatif itu adalah platform tidak partisan bagi anak muda mensimulasikan prosiding Parlimen.

“Penganjur dan peserta hanya mengamalkan kebebasan bersuara mereka, yang dilindungi bawah Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, pembabitan anak muda dalam wacana politik perlu disokong dan mengesa pihak berkuasa menghentikan siasatan terhadap penganjur dan peserta bagi memastikan kebebasan asasi rakyat dijunjung setiap masa.