Laporan Al-Jazeera bohong, perlu mohon maaf, kata Ismail

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, laporan Al-Jazeera tidak wajar dan mempunyai niat tidak baik terhadap Malaysia.

PUTRAJAYA: Kerajaan menafikan laporan agensi berita antarabangsa Al Jazeera yang mendakwa Malaysia mendiskriminasi pendatang asing ketika menangani wabak Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob turut menyifatkan laporan yang dibuat media terbabit sebagai satu pembohongan, termasuk kononnya kanak-kanak turut digari dan dibawa ke pusat tahanan.

“Dakwaan kononnya kanak-kanak digari untuk dibawa ke pusat tahanan, ini pembohongan secara terbuka. Saya percaya pemberita ini tiada etika dalam membuat laporan.

“Kanak-kanak tidak digari, malah diasingkan bersama ibu bapa di tempat khas depoh tahanan dan tidak campur dengan tahanan lain,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan Al-Jazeera berhubung tindakan Malaysia ke atas warga asing dalam menghadapi penularan wabak Covid-19.

Pada Jumaat, saluran berita Al Jazeera menyiarkan episod “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” di program 101 East.

Video 25 minit itu menuduh kerajaan menggunakan alasan kesihatan dan keselamatan awam untuk menangkap mereka yang tidak memiliki dokumen yang sah.

Ismail turut meminta media berkenaan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas laporan fitnah yang dilakukannya.

“Saya percaya Al-Jazeera tidak tahu menahu (keadaan sebenar), tetapi atas niat kurang baik terhadap Malaysia, maka perkara tidak betul dilaporkan, tuduh kita rasis dan pelbagai lagi.

“Saya berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama yang beri sokongan kepada kerajaan. Malah komen terhadap laporan media tersebut berjumlah beratus ribu sehingga mereka terpaksa padamkannya.

“Sebagai media antarabangsa yang sepatutnya mempunyai etika kewartawanan tinggi harus hentikan tindakan mereka. Kalau boleh mohon maaf kepada takyat Malaysia,” katanya.

Ismail berkata, laporan media itu juga tidak wajar dan mempunyai niat tidak baik terhadap Malaysia.

Katanya, pihak berkuasa negara kita bukan sahaja bertindak ke atas warga asing, sebaliknya turut melibatkan rakyat tempatan bagi memastikan penularan Covid-19 dapat dihentikan, termasuk penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan diperketat (PKPD) sebelum ini.

“Tindakan melibatkan pendatang asing bermula dengan tangkapan di Selangor Mansion. Semua pendatang tanpa izin (PATI) dan warga asing yang ada dokumen bersama-sama rakyat tempatan dikurung untuk kita kawal penularan wabak di bawah PKPD.

“Bila laksana PKPD, kita tidak benar mereka keluar dan orang luar memasuki kawasan mereka. Malah bukan sahaja di sana, PKPD juga dilaksanakan di pusat tahfiz Hulu Langat serta beberapa kampung lain dengan meletakkan kawat duri.

“Ia juga melibatkan rakyat tempatan, untuk selamatkan mereka daripada jangkitan.

“Setiap individu yang dikurung, dibuat saringan dan kos saringan ditanggung kerajaan. Kita lakukan ikut SOP, tuduhan kata kita rasis kepada warga asing tidak benar, kita lakukan ikut undang-undang,” katanya.

Ismai berkata, tindakan Imigeresen menahan warga asing yang tidak memiliki dokumen di depoh tahanan adalah selaras dengan undang-undang, di samping memastikan penularan wabak tidak berlaku.

“Boleh minta Al-Jazeera berikan kepada kita nama negara yang benarkan warga asing tiada dokumen perjalanan sah bebas berada di negara tersebut? Semua negara ada undang-undang.

“Kita memberi layanan yang sama kepada warga asing, malah sehingga hari ini puluhan ribu warga asing disaring dan yang didapati positif Covid-19 diasingkan.

“Warga asing tanpa dokumen yang didapati positif dirawat di pusat rawatan khas di Maeps, Serdang,” katanya selain menegaskan jika mereka yang positif dibiar bebas tanpa saringan dan rawatan, maka ia akan menjangkiti lebih ramai rakyat.