Lebih 100 pengusaha bas sekolah henti operasi selepas PKP

Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia khuatir angka sebenar pengusaha yang henti operasi jauh lebih tinggi.

PETALING JAYA: Lebih 100 pengusaha bas sekolah di sekitar Lembah Klang terpaksa menghentikan operasi selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) kerana tidak mampu menanggung kerugian yang dialami ketika tempoh berkenaan.

Presiden Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat, berkata semua pihak terkesan dengan pandemik Covid-19 dan pengusaha bas sekolah terpaksa mencari sumber pendapatan lain kerana majoriti penjaga enggan bayar tambang.

Perkara itu dimaklumkan oleh pengusaha sendiri kepadanya baru-baru ini dan beliau khuatir angka sebenar jauh lebih tinggi dan memberi kesan kepada perkhidmatan bas sekolah pada masa depan.

Menurut Amali, jumlah keseluruhan bas sekolah dalam perkhidmatan itu lebih 14,000 buah.

“Waktu PKP tempoh sukar bagi kami kerana sebahagian besar pengusaha bas terpaksa menurunkan kadar tambang antara 30% hingga 50% bagi membolehkan beberapa komitmen mereka seperti insurans dan kos penyelenggaran bulanan dapat dilunaskan.

“Itupun ada penjaga yang marah dan liat nak bayar. Bas sekolah bukan macam bas Rapid, naik baru bayar. Perkhidmatan kami dibayar secara bulanan dan ia sudah dipersetujui kedua pihak.

“Mahu atau tidak, mereka (pengusaha bas) terpaksa cari kerja lain dan kini sudah selesa dengan mata pencarian yang baru,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Ditanya kemungkinan berlaku peningkatan kadar tambang, Amali berkata, kebanyakan pengusaha tidak bercadang menaikkan tambang buat masa terdekat.

Bermula 2015, kerajaan tidak lagi menetapkan harga siling tambang bas dan ia ditentukan pasaran dan berdasarkan persetujuan antara penjaga dan pengusaha.

“Saya akui ada pengusaha yang mahu naikkan harga, kerana kos yang meningkat akibat pematuhan SOP, tetapi itu terpulang kepada perbincangan dengan ibu bapa. Namun, majoriti setuju kadar tambang pada harga lama” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai 3 model sesi persekolahan yang akan dilaksanakan sejurus pembukaan sekolah mulai 15 Julai ini, beliau berkata, majoriti pengusaha bas tidak mengalami masalah untuk menguruskan jadual perkhidmatan kerana lebih 80% sekolah akan terbabit dengan model penggiliran.

“Jadi dengan menggunakan model ini, murid akan berkurangan hampir 50% bagi setiap sesi dan ia memudahkan pengusaha bas menyusun jadual perjalanan,” katanya.

Dalam pada itu, terdapat rungutan daripada penjaga, Norashikin Mansor, yang memberitahu FMT beliau perlu membayar RM50 untuk tempoh seminggu sesi persekolahan bermula 22 Julai ini.

“Dulu, saya hanya bayar RM70 sebulan untuk sekolah kebangsaan dan agama, tetapi saya baru dimaklumkan oleh bas sekolah mengenai kadar tambang baru itu. Saya rasa ia agak keterlaluan yang jarak hanya kurang 5KM.

“Alasan dia sebab kos naik kena ikut SOP,” katanya.