Menteri dalam negeri tepis laporan antarabangsa berhubung PATI

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin ketika sidang media di Klang, hari ini.

KLANG: Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin hari ini menepis laporan antarabangsa mendakwa kerajaan memberi layanan buruk terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika pandemik Covid-19.

Beliau tidak ada masa untuk tuduhan yang memburukkan dasar kerajaan.

“Sekiranya media asing kata kita bersikap tegas atau garang, saya rasa itulah yang diinginkan oleh rakyat – tegas terhadap mereka yang melakukan jenayah.

“Kita perlu ambil peduli dengan media asing yang membuat putar belit (cerita),” katanya pada sidang media hari ini.

Tindakan keras terhadap PATI dan jangkitan di pusat tahanan imigrasi baru-baru ini mendapat liputan luas media tempatan dan antarabangsa.

Pada Jumaat, saluran berita Al Jazeera menyiarkan episod “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” di program 101 East. Video 25 minit itu menuduh kerajaan menggunakan alasan kesihatan dan keselamatan awam untuk menangkap mereka yang tidak memiliki dokumen yang sah.

Semalam, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba nafi dakwaan rasisme dalam pengendalian PATI ketika pandemik.

Hamzah berkata kerajaan menyambut baik pekerja asing tetapi mereka yang bekerja secara haram wajar dihukum.

“Kerajaan kita lebih peduli tentang rakyat, dan mereka mahu lihat tindakan tegas terhadap pekerja haram,” tambahnya.

“Bukannya kita tidak mengizinkan mereka bekerja. Mereka boleh bekerja jika memiliki permit dan dokumen yang sah.”

Katanya, segala perkara perlu dilaksanakan mengikut SOP.

“Jika orang melakukan jenayah, mereka perlu berdepan undang-undang,” katanya.