Netizen tak setuju Kanye West mahu bertanding jawatan Presiden AS

Netizen beranggapan pengumuman Kanye West kemungkinan hanya untuk mempromosikan koleksi terkini kasutnya atau album baru. (Gambar AFP)

Hasrat penyanyi rap antarabangsa Kanye West yang mahu bertanding untuk jawatan presiden Amerika Syarikat (AS), mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.

Ia diumumkan oleh pemenang anugerah Grammy ini ketika meraikan Hari Kemerdekaan negara itu di Twitter Sabtu lalu, 4 bulan sebelum pilihan raya diadakan.

“Kita perlu merealisasikan janji Amerika dengan meletakkan kepercayaan kepada Tuhan, menyatukan visi kita dan membangunkan masa depan kita.

“Saya akan bertanding jawatan presiden Amerika Syarikat #2020VISION,” tulis Kanye.

Kanye West pernah dikecam rakyat Amerika Syarikat kerana menyokong pelantikan Donald Trump sebagai presiden.

Penyanyi lagu “Stronger” ini menimbulkan spekulasi sejak beberapa tahun lalu dia akan bertanding jawatan tersebut.

Malah, November lalu Kanye pernah menyuarakan hasratnya untuk mencalonkan diri sebagai presiden AS pada tahun 2024.

Sebaik sahaja berita itu dikongsikan Kanye, pengasas Tesla iaitu Elon Musk memberikan sokongan penuh kepada penyanyi itu menerusi akaun Twitternya.

“Saya sokong awak sepenuhnya,” tulis Elon.

Pengasas Tesla, Elon Musk menyatakan sokongannya terhadap Kanye.

Bagaimanapun, rata-rata netizen tidak bersetuju dengan rancangan Kanye dan mengatakan ia hanya publisiti yang dibuat untuk menyokong Donald Trump.

Dalam pada itu, beberapa pengguna Twitter turut menganggap ia hanya rancangan Kanye untuk mempromosikan koleksi terkini kasutnya atau publisiti untuk pelancaran album baru.

“Adakah ini satu rancangan supaya Trump dilantik semula sebagai presiden?

“Saya harap ini hanya publisiti untuk album baharu sebab… tidak! Jangan awak berani 2020, jangan fikirkan tentangnya langsung… dah banyak yang awak lakukan untuk tahun ini. Kanye, duduk rumah,” tulis beberapa netizen di Twitter.

Rata-rata netizen tidak bersetuju dengan rancangan Kanye West untuk bertanding jawatan presiden.

Namun, masih belum jelas jika Kanye telah memfailkan dokumen rasmi untuk tampil dalam undian pilihan raya negeri pada tahun ini.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]