Peguam kanan persekutuan didakwa terima RM500,000 atur kes mahkamah

Lim Cheah Yit (dengan fail merah jambu) di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini.

BUTTERWORTH: Seorang peguam kanan persekutuan berdepan 2 pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana meminta RM500,000 untuk memastikan seorang individu didakwa di mahkamah atas penipuan.

Dalam pertuduhan pertama, Lim Cheah Yit, 42, didakwa meminta suapan RM500,000 daripada Goh Kim Heong pada 8 Mac lalu.

Suapan itu dikatakan sebagai dorongan untuk mempengaruhi pengarah pendakwaan Pulau Pinang bagi mendakwa Chan Eng Leong di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu mengikut kertas siasatan bernombor TL/JSJK/KS/541/19 yang diserahkan ibu pejabat polis daerah timur laut.

Beliau didakwa menerima sogokan itu di Bilik 801, Karaoke Keluarga “I am Singer” di Pusat Beli-belah Paragon Gurney di George Town.

Dalam pertuduhan kedua, Lim didakwa menerima RM100,000 atas alasan sama, juga daripada Goh, di Hotel AC di Jalan Bukit Gambir, Bayan Lepas oada 12.19 tengah hari 1 Jun lalu.

Lim mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali nilai rasuah atau RM10,000, mana lebih tinggi.

Hakim Noor Aini Yusof menetapkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan Lim menyerahkan pasportnya serta melaporkan diri di ibu pejabat SPRM di Putrajaya setiap bulan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar dan Fairus Danial Mazlan mewakili pihak pendakwaan.

Mukhzany memberitahu wartawan di luar mahkamah, Lim akan didakwa semula di Mahkamah Sesyen Alor Setar.

Peguam Lim, Ang Chun Pin berkata, mahkamah menetapkan jumlah jaminan munasabah dan memberikan anak guamnya perbicaraan adil.

Terdahulu, SPRM Kedah dilaporkan menahan 3 pendakwa raya di Pulau Pinang dengan berpura-pura menawarkan kepada seorang daripadanya RM100,000 untuk perkhidmatannya.

Pendakwa raya itu, yang dipercayai berpangkat peguam kanan persekutuan, dilaporkan ditahan selepas menerima wang yang sudah ditandakan daripada pegawai samaran SPRM.