Penemuan tulang manusia, longgokan pakaian dipercayai berkait kes kehilangan Anna Jenkins

Polis berkata, objek terbabit dijumpai seorang lelaki yang melakukan kerja-kerja landskap menanam pokok di kawasan hutan berhampiran pada 24 Jun lepas.

GEORGE TOWN: Penemuan tulang manusia dan longgokan pakaian di kawasan hutan berhampiran Jalan Batu Gantung di sini dipercayai mempunyai kaitan dengan misteri kehilangan seorang wanita warga Australia Anna Jenkins pada 2017.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Suffian Santong berkata, kes mati mengejut (mengenai objek yang dijumpai dipercayai tulang dan barang peribadi) yang dilaporkan pada 25 Jun lalu dipercayai mempunyai kaitan dengan kes orang hilang (warganegara asing) pada 2017 di daerah Timur Laut.

Beliau berkata, objek terbabit dijumpai seorang lelaki yang sedang melakukan kerja-kerja landskap menanam pokok di kawasan hutan berhampiran pada kira-kira 4 petang, 24 Jun lepas.

“… pengadu ternampak longgokan baju yang telah lama ditinggalkan dan pengadu membuat pemeriksaan terhadap longgokan baju tersebut serta menjumpai seketul tulang, tidak pasti tulang manusia atau haiwan.

“Pada keesokan harinya, pengadu membawa tulang beserta longgokan baju itu ke balai polis Kampung Baru untuk membuat laporan polis,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Suffian berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas objek tersebut mendapati ia adalah tulang manusia.

“Pihak polis sedang menunggu pihak kedutaan untuk menyerahkan sampel DNA ahli keluarga orang hilang tersebut kepada pihak polis bagi ujian perbandingan DNA yang bertujuan mendapatkan identiti sebenar tulang yang dijumpai itu,” katanya.

Beliau juga berkata, polis tidak pernah menghentikan siasatan kes Anna Jenkins dan sebarang petunjuk yang diperoleh akan digunakan sebaik mungkin bagi merungkai misteri kehilangan wanita itu.

Suffian berkata demikian semasa mengulas laporan sebuah portal berita tempatan yang mendakwa mayat wanita itu dijumpai.

Pada 13 Disember 2017, Jenkins, 65, dikatakan keluar dari bilik hotelnya untuk ke klinik gigi di Pulau Tikus dan meminta pekerja memesan perkhidmatan Uber untuk ke sebuah rumah kebajikan di Batu Lancang selepas selesai rawatan.

Wanita itu meminta pemandu Uber menurunkannya berdekatan lampu isyarat di Jalan Scotland dan demi keselamatan, pemandu menurunkan mangsa berhampiran sebuah sekolah.

Sejak itu beliau dilaporkan hilang dan laporan polis dibuat oleh suaminya.