Penganalisis yakin BNM kekal atau turun sedikit kadar OPR

Penganalisis berkata, sentimen perniagaan yang ditunjukkan oleh Indeks Pengurus Pembelian Nikkei bagi Jun melepasi paras 50 mata, sekali gus menunjukkan perkembangan positif bagi sektor pembuatan.

PETALING JAYA: Bank Negara (BNM) dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada paras 2.0% berikutan terdapat isyarat pemulihan ekonomi selepas hampir semua sektor perniagaan dibuka semula bermula 1 Julai lalu, demikian menurut pandangan penganalisis.

Ketua ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Afzanizam Abdul Rashid berkata, ekonomi negara kini berada dalam fasa pemulihan dengan mengambil contoh graf kenaikan jualan kenderaan kepada 22,960 unit pada Mei berbanding 141 unit pada April, iaitu paras terendah dalam sejarah industri automotif negara.

Afzanizam berkata, sentimen perniagaan yang ditunjukkan oleh Indeks Pengurus Pembelian Nikkei (PMI) bagi Jun juga melepasi paras 50 mata, menyaksikan perkembangan positif bagi sektor pembuatan.

PMI adalah penanda aras kesihatan ekonomi untuk sektor terbesar, iaitu pembuatan, dan ia dinilai setiap bulan.

“Ini bermakna peniaga berasa optimistik selepas kegiatan ekonomi beransur dibuka pada awal Mei lalu. Justeru tiada keperluan bagi BNM untuk mengurangkan OPR buat masa ini meskipun ruang untuk berbuat demikian sememangnya ada,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia dijangka mengadakan pertemuan esok bagi membincangkan situasi ekonomi semasa, termasuk ketetapan berhubung OPR.

Awal Mei lalu, BNM menurunkan OPR sebanyak 50 mata asas kepada 2.0 %, penurunan kali ke-3 bagi tahun ini.

Dalam pada itu, dari segi pertumbuhan KDNK bagi tahun ini beliau berkata, ia sememangnya dijangka negatif berikutan kegiatan ekonomi yang begitu terkesan akibat penularan wabak Covid-19, terutamanya pada suku kedua 2020.

“Justeru kemelesetan ekonomi sememangnya sudah dijangkakan dan langkah kerajaan melalui dasar monetari dan fiskal seharusnya dapat meminimumkan kesan kemelesetan dan mampu memacu ekonomi negara pada separuh ke-2 tahun ini dan tahun depan.”

Di sebalik keyakinan itu, ramai juga yang menjangkakan BNM akan menurunkan 25 mata asas kadar OPR daripada 2.0% kepada 1.75% dengan mengambil kira situasi ekonomi semasa.

Pengurus pembangunan perniagaan Putra Business School (PBS), Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, beberapa petunjuk ekonomi masih lagi menunjukkan prestasi kurang memuaskan, antaranya kadar pengangguran dan pertumbuhan KDNK bagi setiap suku tahun.

“Jangkaan KDNK negara pada akhir tahun ini masih lagi berlegar sekitar -2.0% hingga +0.5%. Ini bermakna ekonomi tempatan dijangka mengambil masa untuk pulih dan perlunya pendekatan memastikan tahap kecairan yang cukup bagi menggalakkan transaksi perniagaan tempatan.

“Tahap kecairan yang kukuh boleh diperolehi dengan menurunkan kadar OPR supaya perniagaan mendapat sumber pembiayaan yang kompetitif.

“Namun faktor penting yang perlu diambil kira ialah keyakinan pembeli dan pelabur. Ini kerana perniagaan tidak akan mengambil pembiayaan baru jika tidak ada prospek peningkatan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan mereka,” katanya.