Pengerusi pertubuhan asrama anak yatim direman berkait tuntutan zakat RM116,640

Lelaki berusia 59 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Terengganu kira-kira 2 petang semalam, selepas hadir memberikan keterangan.

KUALA TERENGGANU: Seorang pengerusi Pertubuhan Asrama Anak-anak Saudara Kita, Yatim, Fakir dan Miskin ditahan reman hari ini untuk membantu siasatan berhubung tuntutan wang zakat berjumlah RM116,640.

Majistret Wan Aziantie Wan Ab Karim memerintahkan lelaki berusia 59 tahun itu direman 6 hari bermula hari ini.

Suspek ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu kira-kira 2 petang semalam, selepas hadir memberikan keterangan.

Dia dikatakan mengemukakan satu dokumen permohonan bantuan wang zakat kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) yang mengandungi butiran palsu pada 2018.

Suspek yang tiba di mahkamah 9.40 pagi tadi akan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.