Proses dapatkan sijil halal akan dipermudah, kata Zulkifli

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, kerajaan bercadang untuk meneliti semua isu berkaitan pensijilan halal supaya ia tidak lagi menjadi masalah kepada industri makanan.

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti semula proses permohonan sijil halal bagi industri makanan supaya prosedurnya dapat dipermudahkan, namun masih memenuhi piawaian halal yang ditetapkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, urusan berkaitan mendapatkan pensijilan halal untuk sesuatu produk makanan seharusnya tidak membebankan pihak yang memohon.

“Kerajaan memang bercadang untuk meneliti hal berkaitan pensijilan halal secara menyeluruh, agar segala isu dihadapi pihak industri dalam mendapatkan sijil halal, tidak lagi menjadi masalah. Kita akan cuba memudahkan bukan menyukarkan lagi.

“Cuma proses berkenaan perlu lengkap dan disempurnakan mengikut syarat dan piawaian ditetapkan. Tambahan pula dalam situasi ketika ini yang dalam PKPP (perintah kawalan pergerakan pemulihan) dan normal baru. Pastinya lebih perlu dimudahkan,” katanya selepas melancarkan “Virtual Halal School” di Menara Arina-UNITI, hari ini.

Zulkifli berkata demikian ketika diminta mengulas isu pihak yang menggunakan sijil halal tidak sah pada produk makanan, sehingga mengelirukan pengguna, khususnya umat Islam.

Beliau berkata, antara aspek yang akan dilihat adalah berkaitan tempoh masa yang lebih pendek dan borang atau dokumen berkaitan permohonan sijil halal itu.

“Pada masa sama orang awam, terutama umat Islam juga perlu sentiasa teliti terhadap logo halal yang dipamerkan pada produk dibeli, serta memastikan logo digunakan asli dan diiktiraf pihak berwajib,” katanya.

Mengenai “Virtual Halal School”, yang merupakan inisiatif pembelajaran bagi menyebar luas input serta isu berkaitan aspek halal secara maya oleh Pusat Kecemerlangan Halal Kolej UNITI (UHAC) beliau berkata, usaha itu akan menyuburkan lagi industri halal di negara ini.

Buat permulaan Virtual Halal School akan menganjurkan ‘Virtual Halal Summer Camp’ (VHSC) 2020 bermula hari ini hingga 31 Oktober dengan tema “Memahami Halal dalam Industri dan Kehidupan” melibatkan sesi pembelajaran interaktif dalam talian oleh 17 tenaga pakar.