Putrajaya masih bincang buka sempadan kepada negara zon hijau

Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia mahu mendapatkan timbal balas untuk membuka sempadan antarabangsa negara kepada pelancong dan pekerja asing dari negara zon hijau.

BERA: Malaysia masih tidak membuka sempadan antarabangsa kepada pelancong dan pekerja asing kerana perbincangan dengan negara zon hijau masih berjalan, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, dalam perbincangan itu, Malaysia menekankan untuk memperolehi timbal balas, iaitu kebenaran rakyat Malaysia memasuki negara berkenaan.

“Kita mahu timbal balas, iaitu kita buka negara kita dan mereka juga perlu buka negara mereka. Kalau mereka masih memperketat syarat untuk rakyat kita, kita juga tak akan benarkan rakyat mereka datang.

“Perkara ini sedang dibincangkan Kementerian Luar, namun begitu ia masih bergantung kepada nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) sebab ada negara yang dahulu zon hijau, kini menjadi merah semula, kita akan lihat keadaan semasa.”

Ismail Sabri Yaakob

Beliau berkata demikian selepas majlis ramah mesra bersama petugas barisan depan Covid-19 yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi Pahang, Norolazali Sulaiman, di sini semalam.

Ismail yang juga ahli Parlimen Bera berkata, KKM sebelum ini mengenal pasti 6 negara zon hijau Covid-19 bagi pembukaan semula sempadan antarabangsa secara bersyarat, iaitu Singapura, Brunei, New Zealand, Jepun, Australia dan Korea Selatan.

Bagaimanapun, katanya, 4 kategori pengecualian bagi warga asing untuk memasuki negara ini dengan menjalani SOP tertentu masih kekal, iaitu bagi diplomat, ekspatriat kategori EP1, peserta program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dan pelajar yang mahu meneruskan pengajian.

Sementara itu, beliau berkata, Malaysia sudah mengenal pasti lokasi dan jumlah rakyatnya yang masih terkandas di luar negara kerana kawalan pergerakan di negara berkenaan.

Katanya, Kementerian Luar akan memperincikan statistik 2 kategori itu – rakyat Malaysia yang melawat negara luar dan pelajar.

“Kita akan bincang kategori mana yang mendesak untuk dibawa balik. Kementerian luar akan beri cadangan dan kita akan putuskan,” katanya.