SPRM ke Komtar lagi untuk soal siasat lebih ramai exco

Pegawai SPRM tiba di Komtar hari ini.

GEORGE TOWN: Beberapa pegawai dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiba di Komtar untuk melawat pejabat 3 exco kanan, susulan penemuan petunjuk baru dalam siasatan rasuah ke atas projek terowong dasar laut dan lebuh raya bernilai RM6.3 bilion.

Difahamkan, 3 pegawai yang tiba pada 9.35 pagi tadi sedang melawat pejabat Phee Boon Poh dan Chong Eng, yang berada di pejabat SPRM Pulau Pinang dipercayai untuk memberi keterangan mereka.

Pegawai itu dijangka menyoal siasat Jagdeep Singh Deo kemudian.

Wartawan yang menunggu ketibaan mereka kemudiannya diminta keluar oleh pegawai keselamatan Komtar, yang mengarahkan mereka ke lobi tingkat satu.

Minggu lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki dilaporkan berkata, kes siasatan terowong dasar laut itu tidak pernah ditutup atau berhenti sejak dimulakan pada 2017.

Beliau juga enggan mengulas kemungkinan exco akan ditahan kerana terpulang kepada arah tuju pegawai penyiasat.

Ini selepas DAP Pulau Pinang berkata, siasatan itu dipolitikkan dan SPRM sudah mengesahkan tiada salah laku dalam kes itu.

SPRM sebelum ini menyerbu 3 syarikat, dengan seorang sumber memberitahu FMT, serbuan itu susulan satu siasatan rasuah ke atas projek itu yang disambung semula selepas petunjuk baru ditemui.

Seorang bekas pegawai tinggi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang ditahan dan direman 4 hari berhubung kes itu. Dia kemudiannya dibebaskan oleh SPRM dengan ikat jamin RM100,000.

Minggu lalu, pegawai dari agensi anti-rasuah itu melawat pejabat Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy dan exco Zairil Khir Johari. Esok, mereka dijangka menyoal siasat Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Chow dilaporkan berkata, SPRM bercadang menyoal siasat bekas exco dalam pentadbiran terdahulu ketika projek terowong dasar laut itu dicadang dan diluluskan.