Tiada sijil MSPO: Pemilik estet, kilang sawit berdepan tindakan kompaun, batal lesen

Pada 1 Jan, 2020 kerajaan menetapkan tarikh pelaksanaan mandatori pensijilan MSPO dan semua pihak, termasuk pekebun keci,l disyaratkan melaksanakan pensijilan itu di premis masing-masing.

KUALA LUMPUR: Pemilik estet dan kilang kelapa sawit yang terbukti masih belum memulakan proses mandatori pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) boleh dikompaun dan disusuli tindakan lesen digantung atau dibatalkan bermula 1 Jan, 2021.

Ketika membuat amaran itu, Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, peraturan 15(1) (a) Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2005 juga membolehkan pihaknya mengambil tindakan perundangan terhadap pihak industri, termasuk pekebun kecil yang gagal berbuat demikian.

“Surat amaran misalnya akan dikeluarkan mulai 1 Jan, 2021 dan diikuti tindakan kompaun mulai 1 Julai 2021.

“Mulai 1 Jan, 2022, pekebun kecil yang masih belum memulakan proses pensijilan MSPO akan mula diambil tindakan penggantungan lesen atau ia ditamatkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 1 Jan, 2020 kerajaan menetapkan tarikh pelaksanaan mandatori pensijilan MSPO dan semua pihak dalam industri sawit, termasuk pekebun kecil disyaratkan melaksanakan pensijilan itu di premis masing-masing.

Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

Ahmad Parveez berkata, pada 1 Julai, 2019 MPOB mengeluarkan notis pemberitahuan pelesenan pensijilan MSPO secara mandatori kepada pemegang lesen kategori kilang buah kelapa sawit, estet, manakala bagi pekebun kecil, notis makluman penguatkuasaan pensijilan MSPO dikeluarkan pada 27 Dis, 2019.

Menurutnya setakat 30 Jun 2020, pencapaian pelaksanaan pensijilan MSPO bagi kategori estet adalah sebanyak 3,040 estet atau 96.04%, merangkumi kawasan seluas 4.06 juta hektar.

Jumlah itu meningkat berbanding 1,753 estet merangkumi keluasan 2.97 juta hektar pada 31 Dis, 2019.

Bagi kilang sawit, sebanyak 400 buah atau 88.50% memiliki sijil MSPO setakat 30 Jun lepas berbanding 340 kilang pada 31 Dis, 2020.

“Peningkatan itu susulan daripada surat amaran yang dikeluarkan kepada 100 buah kilang pada 28 Jan, 2020. Surat amaran juga dikeluarkan kepada pemilik estet yang masih memulakan pensijilan MSPO pada 12 Feb, 2020,” katanya.

Beliau berkata, sehingga 31 Mei 2020, pencapaian pensijilan MSPO bagi kategori pekebun kecil persendirian adalah seramai 62,009 orang meliputi keluasan 243,666 hektar (24.82%), manakala pekebun kecil tersusun seramai 231,576 orang dengan keluasan 670,010 hektar (99.07%).

“Berikutan pencapaian pelaksanaan MSPO dalam kalangan pekebun kecil, terutama kategori pekebun kecil persendirian yang masih rendah.

“MPOB melanjutkan tempoh penguatkuasaan mandatori pelaksanaan MSPO selama enam bulan sehingga 30 Jun 2020,” katanya.

Ahmad Parveez berkata, tarikh penguatkuasaan mandatori pensijilan MSPO pekebun kecil akan bermula pada 1 Julai 2020 berdasarkan beberapa pertimbangan, termasuk komitmen pekebun kecil persendirian terhadap usaha itu dengan jumlah yang mendaftar bagi MSPO di bawah Kelompok Sawit Mampan (SPOC) MPOB masih rendah.

Pertimbangan lain adalah isu berkaitan milikan tanah pekebun kecil persendirian seperti pertukaran syarat nyata tanah selain kelapa sawit, isu pertukaran milikan tanah dan lain-lain berkaitan yang memakan masa lama untuk diselesaikan agar menepati keperluan pensijilan MSPO serta syarat ditetapkan kerajaan negeri.

“Seterusnya adalah kesukaran menghubungi sebahagian pekebun kecil persendirian yang tidak mengusahakan kebun sendiri secara sepenuh masa.

“Ini berikutan nisbah seliaan kawasan bagi seorang pegawai Tunas (Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit) MPOB dengan pekebun kecil persendiran adalah tinggi iaitu melebihi 1,000 orang,” katanya.