Warisan nafi 1,000 ahli keluar parti

Ketua cawangan Warisan menunjukkan borang keluar parti pada sidang media 30 Jun lalu. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Warisan mempertikaikan jumlah ahli yang dikatakan meninggalkan bahagian Libaran dan menyifatkan angka itu dibesar-besarkan..

Timbalan Ketua Warisan Libaran, Mohamad Mirodin berkata hanya ahli dari 4 cawangan, bukannya 8, yang keluar parti semalam.

Beliau berkata, hanya ada 4 cawangan berdaftar di bawah kerusi Dewan Undangan Negeri Gum Gum.

“Warisan Libraran menafikan dakwaan 1,357 ahli dari 11 bahagian keluar parti.

“Kumpulan itu yang menggelar diri gelombang ketiga pembelot Warisan ialah kumpulan sama yang keluar parti dalam gelombang pertama dan kedua.”

Mirodin turut menafikan dakwaan kumpulan itu yang diketuai bekas ketua cawangan Batu 14, Satar Wahab diketepikan sejak Warisan menjadi kerajaan negeri pada 2018.

Warisan sebelum ini menolak laporan kira-kira 1,000 ahli, termasuk 11 pemimpin bahagian keluar parti.

Ketua Warisan Libaran, Sahar Saka berkata, kumpulan itu diketuai ahli bukan Warisan, Jeffrey Pudang.

Beliau berkata, Pudang ialah bekas ahli Parti Perpaduan Rakyat yang sudah menyertai Amanah Sabah.

Katanya, permohonan keahlian Pudang ditolak kerana beliau sudah menyertai Amanah Sabah.