50 maut, 12 hilang dalam banjir besar di Jepun

Pasukan Pertahanan Jepun menyelamatkan penduduk menggunkan sebuah bot getah selepas banjir besar menenggelamkan jalan di Omuta pada Selasa. (Gambar AP)

TOKYO: Sekurang-kurangnya 50 maut dan 12 lagi hilang dalam banjir besar yang melanda Pulau Kyushu di barat daya Jepun, ketika pihak berkuasa terus mempergiatkan usaha mencari dan menyelamat mangsa dengan amaran hujan lebat berterusan dikeluarkan.

Kyodo News melaporkan 71 tanah runtuh berlaku di 12 wilayah dengan lebih 1.3 juta orang diarahkan berpindah.

Perdana Menteri, Shinzo Abe berkata kerajaan akan menggandakan jumlah anggota bantuan dan penyelamat kepada 80,000 orang berikutan hujan lebat memusnahkan rumah dan mengakibatkan tanah runtuh dalam bencana paling teruk selepas Taufan Hagibis meragut 90 nyawa pada Oktober tahun lalu.

Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshihide Suga berkata: “Hujan dijangka berterusan sehingga 9 Julai dan akan menjejaskan sejumlah besar kawasan dari barat hingga timur Jepun.”

Katanya, beberapa syarikat di wilayah itu sudah menghentikan operasi buat sementara, tetapi beliau tidak menjangkakan gangguan kepada rantaian bekalan, seperti yang berlaku 2 tahun lalu ketika banjir besar turut melanda Kyushu.

Beliau berkata, kerajaan akan terus berhubung dengan syarikat tempatan untuk mengambil tindakan segera, termasuk menyokong syarikat kecil dan sederhana, bergantung kepada keadaan masa depan.

Pengeluar kereta Toyota Motor dan Mazda Motor, serta konglomerat elektronik Panasonic Corp menghentikan operasi di sesetengah kilang pada Isnin akibat hujan lebat berterusan.