6 rakyat Malaysia dijangkiti Covid-19, 5 kes pulih

PETALING JAYA: Enam kes baru Covid-19 yang semuanya membabitkan rakyat Malaysia dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu, manakala 5 lagi pesakit sembuh hari ini.

Ini menjadikan keseluruhan 8,674 kes Covid-19 direkodkan setakat ini dengan 97.8% atau 8,481 daripadanya sudah sembuh, manakala 72 pesakit sedang dirawat di seluruh negara.

Jumlah kematian kekal 121 orang kerana tiada kematian dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata 2 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, daripada 6 kes baru itu, 4 ialah kes import dan 2 lagi ialah jangkitan tempatan.

“Dua kes penularan di dalam negara merupakan kes saringan di tempat kerja, di mana 1 kes dari Kuala Lumpur dan 1 kes dari Selangor.

“Tiada kes di kalangan bukan warganegara dilaporkan hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Hisham berkata, 647 kes import Covid-19 dicatatkan sejak 3 April lalu hingga hari ini membabitkan rakyat Malaysia dan penduduk tetap yang pulang ke tanah air.

“Pada fasa 2 perintah kawalan pergerakan (PKP), iaitu 3 hingga 14 April lalu sebanyak 31 kes dicatatkan. Pada fasa 3 PKP, iaitu 15 hingga 28 April lalu, sebanyak 317 kes direkodkan.

“Pada fasa 4 PKP 29 April hingga 3 Mei sebanyak 8 kes, semasa perintah kawalan pergerakan bersyarat 4 Mei hingga 9 Jun sebanyak 205 kes.

“Ketika perintah kawalan pergerakan pemulihan, iaitu 10 Jun hingga hari ini sebanyak 86 kes.”

Beliau berkata, kerajaan mewajibkan semua individu yang pulang dari luar negara menjalani kuarantin 14 hari di pusat kuarantin yang diwartakan di seluruh negara mulai 3 April lalu untuk mengawal dan membendung penularan kes import Covid-19 dalam komuniti.

“Bermula 10 Jun lalu, individu yang pulang dari luar negara tidak lagi ditempatkan di pusat kuarantin, tetapi di kediaman masing-masing selama 14 hari, iaitu perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO).

“Sukacita dimaklumkan sejak pelaksanaan HSO ini, belum ada penularan kes Covid-19 yang dilaporkan di kalangan ahli keluarga individu yang positif Covid-19 setelah menjalani HSO di rumah masing-masing.”

Katanya, ini ialah tanda awal positif, tetapi ia tertakluk kepada pematuhan SOP agar tidak berlaku risiko jangkitan dalam komuniti.

“Kementerian Kesihatan menyeru pengembara yang pulang ke Malaysia supaya terus memberi kerjasama dan patuh kepada syarat di bawah perintah ini agar dapat memutuskan rantaian penularan Covid-19 di Malaysia.”