Hanya 2 negeri catat lebih 10 kes aktif Covid-19

Lapan negeri kini bebas daripada jangkitan Covid-19, manakala yang lain mempunyai 1 hingga 11 kes aktif.

PETALING JAYA: Hanya Negeri Sembilan dan Sabah yang masih mempunyai 2 angka kes aktif Covid-19.

Infografik Kementerian Kesihatan hari ini menunjukkan terdapat 11 kes aktif di Negeri Sembilan dan 10 kes di Sabah.

Negeri lain yang turut mempunyai kes aktif satu angka ialah Johor (1 kes di Kluang); Selangor (7 kes di Hulu Langat, Petaling, Gombak dan Sepang); Kuala Lumpur (9 kes di Lembah Pantai, Titiwangsa, Kepong dan Cheras) serta Sarawak (1 kes di Kuching).

Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Pahang, Melaka, Terengganu dan Kelantan dikategorikan sebagai negeri zon hijau yang tidak mempunyai sebarang kes aktif.

Sehingga kini, Malaysia merekodkan 8,674 kes Covid-19 dengan 8,481 pesakit sudah pulih dan 72 masih dirawat di hospital seluruh negara.

Kematian kekal tidak berubah pada 121 kes.