Israel kenakan semula sekatan selepas peningkatan kes Covid-19

(Gambar AP)

JERUSALEM: Israel menguatkuasakan semula beberapa sekatan bagi melawan peningkatan jangkitan koronavirus, termasuk menutup bar, gimnasium, dan dewan. (Gambar AP)

Perdana Menteri Benjamin Netanyahu ketika berucap pada sesi Kabinet khas mengenai krisis kesihatan berkata, Israel perlu bertindak bagi mengelak kawalan meluas yang boleh melumpuhkan ekonomi, ketika kadar pengangguran ketika ini berada pada paras lebih 20%.

Bank Israel pada Isnin meramalkan penguncupan ekonomi 6% tahun ini.

“Pandemik merebak. Jangkitan dan jumlah pesakit kritikal meningkat setiap hari, bertentangan dengan apa yang telah dimaklumkan,” kata Netanyahu.

Selain penutupan bar, kelab malam, gimnasium, dewan dan acara kebudayaan, kerajaan turut mengumumkan jumlah pengunjung restoran dihadkan kepada 20 orang di dalam premis dan 30 di luar premis.

Keberadaan di rumah ibadat dihadkan kepada 19 orang dan bas hanya boleh memuatkan 20 penumpang.

Selepas pembukaan semula sekolah, pantai, dan perniagaan pada Mei lalu, peningkatan jangkitan dilaporkan mendadak.

Berdasarkan tinjauan diterbitkan oleh N12 News pada Isnin, hanya 37% rakyat mempercayai cara kerajaan menangani krisis ini manakala 59% sebaliknya.

Ahli epidemiologi Hagai Levine mengatakan Israel tidak melakukan persiapan rapi selepas perintah kawalan.

“Pengalaman Israel harus menjadi pengajaran kepada semua negara: Kita tak boleh beralih daripada suatu langkah ekstrem kepada langkah ekstrem yang lain; daripada kawalan penuh kepada kelonggaran meluas tanpa perancangan yang sewajarnya,” kata profesor di Pusat Kesihatan Awam di Universiti Hebrew-Hadasdah itu.

“Kita harus bertindak berdasarkan data dan fokus pada populasi berisiko tinggi, pusat wabak, dan aktiviti tertentu yang mana risiko penularan tinggi. Covid-19 akan bersama kita untuk masa yang lama,” katanya.

Di Israel lebih 30,000 diuji positif dan 332 meninggal dunia akibat virus itu.

Pegawai pentadbir Palestin di Tebing Barat megenakan kawalan penuh pada Jumaat ketika kes meningkat. Hampir 4,300 kes jangkitan dan 16 kematian dilaporkan di Tebing Barat, dan 72 kes jangkitan dan 1 kematian di Gaza.